HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Ogos 2020

Kemenangan di Slim bukti MN semakin dapat sambutan, kata penganalisis

Petugas SPR membawa masuk peti undi ke pusat penjumlahan 
undi PRK Slim malam tadi. Calon BN Mohd Zaidi Aziz menang 
dengan majoriti besar 10,945 undi mengalahkan 2 calon Bebas.

PETALING JAYA: Penganalisis politik melihat keputuan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim semalam sebagai pengesahan kekuatan Muafakat Nasional (MN) yang merupakan gabungan 3 parti politik Melayu terbesar.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata, keputusan itu menunjukkan bahawa kerjasama antara Umno, PAS dan PPBM berkesan.

“Ia menunjukkan MN semakin mendapat tempat dan berada di kedudukan lebih baik sekarang. Sokongan akar umbi juga bertambah kuat,” katanya.

Berdasarkan keputusan dari pusat daerah mengundi, undi protes terhadap Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lepas mungkin telah kembali kepada gabungan politik itu, katanya.

“Peratus keluar mengundi yang rendah menunjukkan mereka yang tidak keluar mungkin merupakan penyokong Pakatan Harapan (PH). Kita tidak lihat tokoh utama PH datang berkempen untuk Pejuang,” katanya.

Parti Pejuang Tanah Air adalah parti baru yang ditubuhkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan sekutu beliau .

Sivamurugan berkata, parti baru itu tidak memiliki jentera pilihan raya yang kuat.

“Saya fikir Dr Mahathir memang menjangkakan keputusan itu, tetapi beliau memerlukan platform bagi menunjukkan bahawa Pejuang juga mempunyai tempat. Ini bukan titik hujung beliau.”

Pakar sains politik Chandra Muzaffar berkata, kerjasama antara Umno, PAS dan PPBM bakal menyaksikan gabungan itu menguasai sepenuhnya undi orang Melayu di luar bandar.

Beliau berkata, keputusan itu juga menunjukkan bahawa Mahathir kehilangan sebahagian daripada sokongan luar bandar beliau.

“Beliau merupakan perdana menteri selama 24 tahun sebanyak 2 kali, ramai yang percaya calon yang disokongnya sepatutnya meraih keputusan lebih baik,” katanya.

James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata, Pejuang mempunyai peluang lebih baik jika calonnya bertanding menggunakan lambang parti itu sendiri, bukannya sebagai calon Bebas.

“Pejuang perlu bekerja lebih gigih. Ia tidak mecapai keputusan yang baik kerana mereka tidak mempunyai infrastruktur parti, selain terpaksa menggunakan bendera Bebas,” katanya kepada FMT.

Tiada ulasan: