HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Ogos 2020

Amaran Shafie kepada Pas, jangan bawa politik perkauman di Sabah

Manzaidi Mohd Amin
MGF18012020_KETUA-MENTERI-RAIH-UNDI-PRK-KIMANIS_04-681x454
Mohd Shafie Apdal

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengingatkan pemimpin politik, terutama Pas supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang melampau hingga boleh memecah-belahkan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Ketua Menteri Sabah itu berkata, kenyataan bersifatkan perkauman bukan langkah yang harus dilakukan jika hendak melihat negara ini maju ke hadapan.

“Saya ingin mengingatkan pemimpin politik terutama Pas agar tidak mengeluarkan kenyataan yang melampau hingga boleh memecah-belahkan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Jika rakyat tidak belajar apa yang berlaku di Amerika Syarikat dan Timur Tengah yang mempunyai amalan perkauman yang tebal serta ektremisme agama, maka perpaduan dan kemakmuran tidak akan dapat dikecapi,” kata Presiden Parti Warisan (Warisan) Sabah menerusi posting Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh ketika berbahas di Dewan Rakyat mendakwa kitab Injil yang digunakan masyarakat Kristian di negara ini telah terpesong.

Kenyataan itu menimbulkan kemarahan penganut Kristian termasuk pemimpin gereja seluruh negara yang mendesak beliau untuk memohon maaf.

Menurut Mohd Shafie, kenyataan yang melampau tidak seharusnya dikeluarkan kerana tidak mendatangkan kebaikan kepada masa depan generasi masa depan.

Katanya, pemimpin tidak boleh hanya bergantung kepada landasan politik semata-mata kerana itu boleh menghancurkan perpaduan kaum yang ada.

“Untuk mengekalkan perpaduan, kita perlu bersatu dalam membina negara dan bangsa. Jangan ada keterlaluan dan kesempitan.

“Jangan disebabkan ingin berkuasa dan inginkan sesuatu, kita ketepikan keharmonian yang ada pada hari ini.

“Kita perlu pelihara perpaduan hari ini demi kepentingan generasi akan datang. Sekiranya kita tunjukkan contoh yang buruk, itu akan mendatangkan bahaya kepada kita,” katanya.

Beliau berkata, seandainya kaum dan agama menjadi pegangan tanpa batasan tanpa memikirkan kepentingan nyawa manusia, pembunuhan pasti akan berlaku kerana wujud ektremisme dalam kalangan masyarakat. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: