HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Ogos 2020

PRK Slim: Pandu sendiri kenderaan jumpa pengundi

Rosman Shamsudin
 
SANTHARASEKARAN memandu sendiri ketika berkempen. FOTO Rosman Shamsudin

KETIKA calon lain berkempen diiringi penyokong untuk bertemu dengan seberapa ramai pengundi dalam usaha memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Slim, calon Bebas, S Santharasekaran ditemani saudara dan rakan saja.

Kebiasaannya Santharasekaran, 44, ditemani abang ipar M Ganesan, 37, dan rakannya, S Alagar, 55, untuk membantu berkempen dan berjumpa pengundi di Dun Slim.

Beliau turut memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda miliknya tanpa menggunakan khidmat pemandu.

Situasi itu menyebabkan ada pengundi atau orang ramai keliru kerana mereka sangkakan calon berada di bahagian penumpang belakang kenderaan.

Santharasekaran berkata, beliau lebih suka memandu sendiri sepanjang tempoh berkempen. "Apabila kita sendiri yang melalui jerih payah melakukan sesuatu terutama mengharungi tempoh berkempen, maka kita akan lebih menghargai jawatan wakil rakyat yang berkhidmat untuk rakyat.

"Pengalaman ini sudah tentu akan membuatkan saya bekerja lebih kuat dan menghargai setiap undi yang diberikan oleh pengundi jika saya memenangi dalam PRK ini," katanya ketika ditemui dekat sini.

Menurutnya, walaupun tanpa diiringi penyokong, ia bukanlah halangan untuk berjumpa dengan pengundi.

"Setiap calon mempunyai kaedah dan pendekatan sendiri untuk berkempen dan bertemu pengundi, berbeza dengan saya iaitu lebih suka menampilkan gaya atau imej sebagai orang kampung yang sudah sebati dalam hidup serta jiwa saya.

"Walaupun tanpa poster atau sepanduk tetapi saya tetap yakin akan dapat menambat hati pengundi dengan gerak kerja yang saya lakukan di sepanjang tempoh berkempen," katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Slim
  • Tiada ulasan: