HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Ogos 2020

Ahli akademik sambut baik idea tubuh parti belia, badan pelajar ragu

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu menubuhkan parti belia 
yang serupa dengan Thailand Future Forward atau En Marche 
dari Perancis.

PETALING JAYA: Beberapa ahli akademik menyambut baik keputusan Syed Saddiq Abdul Rahman untuk memulakan sebuah parti politik yang berasaskan belia, tetapi sebuah badan pelajar menyuarakan keraguan berhubung komitmen bekas menteri itu pada perjuangan belia.

Meskipun ahli akademik dari 3 institusi melihat langkah itu sebagai perintis yang sesuai dengan peredaran zaman, beberapa kumpulan mahasiswa dari Akademik Gerakan Pembebasan berkata, rekod Syed Saddiq sebagai ahli politik yang berkuasa tidak memberi keyakinan bahawa partinya akan memenuhi cita-cita belia.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, langkah itu tepat pada masanya, merujuk kepada isu umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun dan bukti menunjukkan pengaruh pengundi belia dalam memberi kesan kepada keputusan pilihan raya di Singapura dan Finland.

Beliau berkata, sifat parti itu yang berbilang kaum akan menarik pengundi muda kerana golongan berkenaan tidak terlalu terlibat dengan masalah perkauman.

Azmi Hassan

“Dengan strategi yang tepat, ia bukan saja boleh bertahan dalam iklim politik Malaysia yang bergelora, tetapi juga boleh menjadi sebuah parti yang digeruni,” katanya kepada FMT.

“Parti lebih mapan seperti Umno, PPBM, PKR dan DAP memang mempunyai sayap pemuda mereka, tetapi parti itu terlalu terikat dalam hieraki kekananan, yang tidak disukai oleh generasi muda.

“Lihat Finland awal tahun ini. Pengundi begitu muak dengan parti yang lebih mapan sehingga mereka memilih parti yang dipimpin oleh belia yang sangat muda dan sekarang mereka mempunyai perdana menteri termuda.”

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata Syed Saddiq mempunyai kelebihan yang unik dalam sifat mudanya, justeru memberikannya ruang untuk mencuba eksperimen politik tanpa menanggung terlalu banyak kos politik.

Namun katanya, parti yang dicadangkan perlu menang sejumlah kerusi pada pilihan raya akan datang jika ingin berpengaruh, dengan menambah bahawa itu hanya boleh dicapai jika ia memilih salah satu pihak dalam kumpulan politik utama .

Oh Ei Sun

“Tampaknya ada kepentingan politik aktif dalam kalangan pengundi muda daripada kedua-dua belah pihak politik yang ada.

“Jadi Syed Saddiq perlu berhati-hati dalam mengatur posisi partinya untuk merebut segmen terbesar daripada kumpulan pengundi muda ini.”

Oh berkata, parti itu perlu memilih antara berkempen untuk mendapatkan undi belia bandar dan golongan di luar bandar, selain menambah bahawa ia adalah perkara yang rumit untuk menampung kedua-dua kumpulan demografi itu.

Beliau menjangka parti baru itu akan menang hanya beberapa kerusi dalam pilihan raya akan datang, tetapi berkata,, ia mungkin cukup untuk menempatkan Syed Saddiq pada posisi yang membolehkannya berunding bagi mendapatkan manfaat politik daripada pihak yang menang.

James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania menyambut baik keputusan parti itu untuk menjadi berbilang kaum, dengan berkata, ia adalah masa depan Malaysia.

Katanya, tiada duluan bagi parti politik berasaskan belia.

James Chin

“Ya, belia di negara ini berhak mempunyai suara dan gerakan politik mereka sendiri. Jadi ini adalah suatu langkah yang baik oleh Syed Saddiq,” katanya.

Beliau bersetuju dengan Oh bahawa parti itu perlu memenangi kerusi Parlimen sekiranya mahu relevan dan berpengaruh.

Dalam pengumuman baru-baru ini mengenai hasratnya untuk menubuhkan parti itu, Syed Saddiq berkata, sudah sampai masanya untuk politik Malaysia tidak “dikawal dan dimonopoli “ oleh orang yang sama.

Kata beliau, partinya bukan sahaja melibatkan belia dengan pengalaman politik, tetapi juga golongan teknokrat dan profesional muda.

Beberapa pemimpin Gerakan Pembebasan Akademik, bagaimanapun mendakwa Syed Saddiq, ketika menjadi ahli PPBM, menyokong politik perkauman.

Salah seorang dari mereka, Bhairava Sivam berkata, pelajar dan belia sudah bosan digunakan sebagai “boneka politik dan tiket untuk ke Parlimen”.

“Syed Saddiq gembira menyokong parti berasaskan kaum dalam pilihan raya sebelum ini dan tidak terlalu ambil peduli tentang sokongan terbuka kepada pelompat parti dari Umno ke PPBM serta dasar kaum PPBM.”

Katanya, Syed Saddiq terlibat dalam pusingan U pentadbiran terdahulu, seperti janjinya untuk menghapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti.

“Apakah jaminan yang kita ada bahawa beliau tidak akan buat pusingan U lagi dan menyokong dasar perkauman selepas menunggang tiket pelajar untuk mernjadi kerajaan?”

Bhairava berkata, parti berasaskan belia perlu mempunyai prinsip demokrasi dan menjadikan penghapusan undang-undang yang buruk teras perjuangannya.

“Ia juga perlu menentang nepotisme dan kronisme. Itu perlu dipimpin oleh belia , bukannya boneka atau cop getah untuk agenda parti atau dalang lebih besar. ”

Seorang lagi ahli kumpulan pelajar, Azura Nason berkata, parti itu seharusnya bukan sahaja fokus untuk menang pilihan raya, sebaliknya “ia perlu mempunyai matlamat untuk perubahan sistem atau reformasi institusi.”

Beliau berkata Syed Saddiq, yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, tidak akan menjadi wajah yang baik untuk sebuah parti belia.

Ahli lain, Syazwani Mahmud berkata, parti belia perlu menyokong pelbagai isu pelajar yang diketengahkan sebelum ini, seperti Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) dan isu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Pada Disember 2018, pelajar mendesak UTM untuk menghapuskan “yuran khas” yang dikenakan kepada pelajar MJIIT sebagai tambahan kepada yuran semester asas.

Fakulti MJIIT UTM ditubuhkan pada 2010 oleh kerajaan Malaysia dan Jepun selaras dengan dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkan oleh Mahathir semasa memegang jawatan perdana menteri.

Syed Saddiq, dalam temu bual baru-baru ini dengan Channel NewsAsia, mengatakan: “Jika di Thailand mereka boleh menubuhkan ‘Future Forward’, di Perancis mereka boleh menubuhkan ‘En Marche’ di bawah Macron, saya rasa sudah sampai masanya di Malaysia untuk menubuhkan gerakan terdiri daripada orang muda.

“Teknokrat, profesional, ahli politik muda pelbagai latar belakang perlu bersatu bagi memastikan suara belia mendominasi Parlimen dan di luar Parlimen, dan akhirnya belia tidak boleh dipandang mudah lagi.”

Tiada ulasan: