KUALA LUMPUR – Muafakat Nasional (MN) menerima penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atas dasar kesepakatan membina kekuatan kelompok teras Melayu dan Islam.
Setiausaha Agung Bersama MN merangkap Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, wadah berkenaan menjadi kewajipan kerana ia juga asas perjuangan UMNO.
“Atas dasar itu UMNO telah bersetuju supaya supaya MN menerima penyertaan Bersatu dan ingin melihat dengan penyertaan tersebut, penyatuan dan perpaduan orang Melayu bertambah mantap lagi selaras dengan Piagam MN yang termaktub sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Penyertaan Bersatu itu telah dibincang dengan teliti dan mendalam oleh Jawatankuasa Pemandu MN yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Presiden Pas pada 6 Ogos lalu.
Ia susulan dari itu surat rasmi telah diutus pada 13 Ogos lalu dan jawapan rasmi kesediaan Bersatu menyertai MN telah diterima pada 18 Ogos dengan ditandatangani oleh presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri.
Biro Politik UMNO telah membincangkan perkembangan terbaharu ini pada 23 Ogos lalu dan turut melibatkan semua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeridan Pengerusi BN Negeri, katanya.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan