HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Ogos 2020

Hanipa panggil Ahli Parlimen Kuala Krai bangang

Muhammad Azizul Osman
MGF14072020_PARLIMEN-MALAYSIA13-681x454
Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin pada Sidang 
Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto 
HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 hangat apabila berlaku pertikaman lidah antara Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman.

Hanipa ketika membahaskan RUU itu mempersoalkan tindakan pemimpin Pas dan lidah rasmi mereka Harakahdaily membela kesalahan Menteri Perusahan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19.

“Bukan macam Pas sudah salah pun tidak mahu mengaku. Menteri dah salah RM1,000 itupun nak bela juga. Kata tidak ada lagi kluster Khairuddin.

“Saya cakap betul. Orang Pas tidak mahu mengaku sebenarnya menteri dah salah, janganlah bela. Harakahdaily itu pun bela jugak.

“Sebab itulah saya kesian dengan BN yang berkawan dengan Pas. Kami sudah lama tinggalkan Pas, kami tahu tentang Pas.

“Tahniah kepada Perikatan Nasional kerana bersama dengan Pas. Selamatlah melayan Pas ni,” katanya di Dewan Rakyat.

Kata-kata itu menimbulkan rasa tidak puas hati Abdul Latiff yang kemudiannya  membangkitkan fakta bahawa kemenangan Hanipa pada 2018 adalah atas tiket Pas.

Mendengar perkara itu, Hanipa kemudiannya mengeluarkan kata-kata kesat dengan menggelarkan Abdul Latiff sebagai bangang.

“Masa itu kita menang atas tiket Pakatan Rakyat, apalah bangang sangat,” kata Hanipa lagi.

“Siapa yang bangang YB,” desak Abdul Latiff.

“Youlah,” jawab Hanipa.

Dalam nada menyindir, Hanipa mengucapkan tahniah kepada Perikatan Nasional yang mengambil Pas sebagai rakan sekutu yang baru.

“Tahniah kepada Perikatan Nasional kerana bersama dengan Pas. Selamatlah melayan Pas ni,” perli bekas Timbalan Menteri itu.

Episod tegang leher itu bagaimanapun berjaya dileraikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: