Meskipun tidak senang dengan cara pengumuman kenaikan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada RM1,000, namun Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyokong cadangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin itu.
Dalam masa sama, Lim menggesa supaya kerajaan melanjutkan tempoh moratorium bayaran balik pinjaman untuk enam bulan lagi.
Menurutnya, satu lagi pakej rangsangan berjumlah berbilion ringgit diperlukan untuk menyelamatkan kehidupan rakyat Malaysia dalam menghadapi dampak krisis pandemik Covid-19 ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Lim berkata cadangan menaikkan bantuan yang diumumkan oleh Muhyiddin ketika lawatan dua hari ke Sabah semalam akan memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.
Walaupun begitu, beliau mendakwa Muhyiddin yang juga bekas sekutunya dalam Pakatan Harapan, bermain politik dengan pengumuman itu memandangkan pilihan raya negeri Sabah yang dijadualkan pada 26 September.
Bekas menteri kewangan itu berkata jumlah penerima bantuan JKM dijangka meningkat dua kali ganda daripada 500,000 pada tahun 2018 disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang mengakibatkan kadar pengangguran lebih tinggi sebanyak 4.9 peratus pada bulan Jun.
“Peningkatan jumlah penerima ini, dan juga peningkatan bantuan kebajikan masyarakat sebanyak RM1000 sebulan akan menambah kos keseluruhan kepada RM12 bilion setahun,” katanya.
Untuk rekod, kadar pengangguran bulan Jun adalah 4.9 peratus, sedikit lebih rendah berbanding Mei yang berada pada paras tertinggi 5.3 peratus.
Jumlah penganggur pada Mei ialah seramai 826,100 orang, manakala 773,200 penganggur direkodkan pada Jun.
Lim berkata kerajaan PH sebelum ini telah menumpukan untuk menguruskan hutang negara.
Justeru itu, katanya kerajaan baru perlu beralih "fokus kewangan yang lebih strategik" dengan meminjam lebih banyak wang untuk mengeluarkan negara daripada kemelesetan ekonomi dengan secepat mungkin.
Kerajaan PN baru-baru ini membentangkan RUU Langkah-langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 [Covid-19]) 2020 di parlimen bulan lalu.
RUU tersebut bertujuan untuk mewujudkan dana Covid-19 yang akan merangkumi pelbagai pakej rangsangan yang telah diumumkan seperti pakej Prihatin dan Penjana.
Sementara itu, Lim berkata dengan lanjutan tempoh moratorium bayaran balik pinjaman bank akan dapat membantu jutaan rakyat dan syarikat.
“Lanjutan moratorium tersebut, sama ada dibiayai oleh pihak bank mahupun oleh kerajaan sendiri, akan dapat membantu lapan juta rakyat dan syarikat Malaysia, yang lebih besar jumlahnya.
“Tindakan
melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan sehingga 31 Disember
akan memberikan kesan buruk terhadap ekonomi negara, dan sepatutnya
perlu disekalikan dengan suntikan dana tambahan RM45 bilion pakej
rangsangan ekonomi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan