HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Ogos 2020

Pemimpin bawahan BN, UMNO perlu elak komen dasar parti

Oleh Rafidah Mat Ruzki 

Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa

PUTRAJAYA: Pemimpin politik terutama di peringkat bawah, diingatkan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, terutama yang membabitkan dasar parti kerana dikhuatiri tidak tepat.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, berkata pihak media juga diminta berhati-hati ketika mendapatkan reaksi dan tidak melaporkan kenyataan daripada pemimpin yang bukan terbabit dengan penggubalan dasar dan perancangan membabitkan parti, kerana ia akan memberi gambaran kurang tepat.

Beliau berkata, ia berikutan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO biasa yang tidak terbabit dengan rundingan di peringkat tertinggi, tidak mempunyai maklumat membabitkan dasar.

"Kalau media nak bertanya dasar saya harap dapat dirujuk penjawat jawatan yang sesuai. Kalau ambil seorang pemimpin bahagian, kita ada 191 bahagian. Ada sesetengah pemimpin mungkin tak tahu apa sedang berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perarakan Pasukan Berkuda Perkhidmatan Awam Sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Sambutan Jubli Perak Perbadanan Putrajaya di Dataran Putrajaya, di sini, hari ini.

Annuar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi BN Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed, yang menasihatkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya berhenti "ke sana ke sini" bagi meraih sokongan ahli-ahli Parlimen sebelum menjelang perbentangan belanjawan Oktober depan.

Beliau berkata, polemik yang berlaku membabitkan kerjasama antara Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dengan UMNO, sama dengan ketika disyorkan UMNO mengadakan kerjasama dengan PAS sebelum ini.

Katanya, ketika itu ramai dalam kalangan pemimpin parti itu tidak bersetuju, namun pemimpin kedua-dua parti terpaksa membuat pertemuan dan memberikan penjelasan.

Beliau berkata, usul untuk kerjasama antara UMNO dan PAS mula dicetuskan pada 2012 dan lebih tujuh tahun kemudian baru ia dapat direalisasikan dalam bentuk satu kerjasama.

"Maksudnya, nak bekerjasama dengan dua parti tak senang. Ada banyak benda yang perlu untuk pupuk hubungan. Saya ingat lagi bila kita cadang kerjasama dengan PAS ada yang tak setuju tapi sekarang semua selesa kerjasama dengan PAS.

"Saya harap pemimpin UMNO jangan mudah memberi kenyataan terutama yang kurang tepat. Saya baca (dakwaan) Perdana Menteri ke Sabah untuk meraih sokongan orang ramai dan pemimpin untuk menyertai BERSATU... ada rancangan nak perkasakan parti tak ada salah tapi nak tuduh Perdana Menteri buat perkara negatif itu tak betul," katanya.

Tiada ulasan: