SLIM RIVER – Insiden beberapa pengundi warga emas tidak dibenarkan masuk ke pusat pengundian kerana memakai seluar pendek dianggap sebagai salah faham antara pihak berkuasa dengan pengundi terbabit.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pemakaian seluar pendek ke tempat mengundi bukan satu kesalahan di bawah peraturan ke tempat mengundi.
“Mugkin ada miss comunication. Kalau nak ikutkan tiada masalah mungkin sebab masalah komunikasi. Yang tak boleh masuk kalau dia berpakaian parti, menjolok mata. Pakai seluar pendek ini kita masih benarkan.
“Kita harap pengundi ini boleh datang baliklah untuk mengundi, jangan merajuklah,” katanya pada sidang media di Sekolah Kebangsaan (SK) Aminuddin Baki di sini, hari ini.
Beliau ditanya wartawan berhubung insiden beberapa pengundi warga emas tidak dibenarkan masuk ke pusat pengundian di Sekolah Kebangsaaan Aminuddin Baki di sini pagi ini untuk proses pengundian kerana memakai seluar pendek.
Mereka dihalang masuk oleh pihak polis di pintu sekolah itu dan keluar dalam keadaan marah serta tidak berpuas hati.
Sementara itu, ketika ditanya tentang kemunculan beberapa individu yang dipercayai menjadi peraih undi di beberapa pusat mengundi, Abdil Ghani menegaskan, masa berkempen telah berakhir malam tadi.
Katanya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku malah SPR juga tidak menggalakkan mereka berbuat demikian.
“Cuma kadang-kadang mereka buat khemah tapi kalau khemah itu untuk kemudahan untuk parti yang terlibat terutamanya dari segi bekalan seperti pelitup muka, yang ini kita berikan tiada masalah,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, peratusan keluar mengundi bagi golongan muda iaitu di saluran lima dan enam agak perlahan setakat ini.
Bagaimanapun, perkara berbeza dapat dilihat di saluran warga emas yang agak sesak pada sebelah pagi.
“Peratus warga emas yang mengundi adalah begitu ramai. Keadaan agak sesak sikit di dua sekolah ini. Sehingga pukul 11 pagi peratusan keluar mengundi adalah 29 peratus, maknanya setiap jam adalah 10 peratus.
“Saya menyeru supaya pengundi-pengundi semua dapat keluar kerana di peringkat SPR kita punya sasaran yang tinggi iaitu 85 peratus (keluar mengundi) dan masa masih lagi panjang sebagaimana yang telah kita gazetkan iaitu pukul 8 pagi hingga 5.30 petang,” tambah beliau. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:Saya pun tak tahu tak boleh mengundi pakai seluar pendek – Ismail Sabri
Tiada ulasan:
Catat Ulasan