SLIM – Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim dengan bergaya, termasuk menguasai tiga daerah mengundi yang mempunyai pengundi Cina secara bandingannya lebih ramai.
Keadaan itu menunjukkan petanda kembalinya sokongan pengundi Cina kepada BN, dan faktor utama yang menyumbang kepada fenomena itu adalah Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri.
Sinchew Daily melaporkan, analisis berbeza oleh MCA dan PKR menemui perkara yang sama iaitu pengundi Cina telah menggunakan undi mereka untuk menolak Dr. Mahathir.
Selain hilang percaya terhadap kepimpinan Dr. Mahathir, pengundi Cina juga masih beranggapan bahawa bekas Perdana Menteri itu merupakan punca utama tertumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Ketua MCA Tanjung Malim, Goh Choong Seng berkata, sokongan yang diterima BN daripada pengundi Cina adalah disebabkan dua faktor, termasuk mereka berpendapat BN adalah lebih baik berbanding PH.
“Faktor kedua pula adalah pengundi Cina telah menolak kepimpinan Dr. Mahathir yang telah meletak jawatan sebagai PM dan mahu mempertahankan anak sendiri dalam politik,” katanya kepada Sinchew Daily.
Menurutnya, tiga daerah mengundi dengan pengundi Cina yang ramai dalam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim iaitu Sungai Slim Utara, Pekan Slim dan Kampung Kuala Slim telah menunjukkan penguasaan BN, walaupun parti itu kecundang di kesemua tempat tersebut dalam pilihan raya umum lalu.
Walaupun analisis lebih teliti perlu dijalankan untuk menentukan kadar “kepulangan pengundi Cina” , tetapi Choong Seng percaya, kadar itu boleh mencecah 70 peratus berdasarkan jumlah undi pihak lawan yang tidak tinggi.
Choong Seng bagaimanapun juga berpendapat adalah tidak dapat dipastikan sama ada keadaan positif buat MCA dan BN itu dapat berterusan sehingga pilihan raya umum seterusnya.
Katanya, walaupun yakin dengan kepulangan pengundi Cina kepada BN pada pilihan raya umum, tetapi kadar atau jumlahnya sukar diramalkan.
Jelasnya, selain bergantung kepada calon, isu besar semasa juga akan mempengaruhi emosi pengundi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang berkata, kemenangan BN di Slim tidak harus disalah tafsir sebagai kepulangan pengundi Cina secara keseluruhannya.
Beliau yang juga merupakan Naib Presiden PKR berkata, keputusan pilihan raya kecil tidak boleh dijadikan piawaian muktamad kerana petanda “seakan-akan terdapat kepulangan pengundi Cina” kepada BN adalah didorong beberapa faktor.
“Pertama, kadar pengundi Cina yang keluar mengundi adalah sangat rendah. Kedua, PH tidak bertanding dan calon dari kem Dr. Mahathir telah bertarung sebagai calon bebas dengan menggunakan lambang yang pengundi Cina tidak biasa.
“Faktor ketiga, segelintir pengundi Cina mungkin tidak berpuas hati dengan Dr. Mahathir,” katanya.
Jelasnya, sesetengah pengundi Cina melihat Dr. Mahathir sebagai punca utama tertumbangnya kerajaan PH dan anggapan itu mempengaruhi jumlah undi yang diterima calon dari kem bekas Perdana Menteri itu.
“Bagi pasukan pembangkang, keputusan di Slim merupakan satu kekalahan yang pahit dan kami menerima pilihan yang dibuat pengundi.
“Kami telah melihat dan menerima mesej daripada pengundi dan akan melakukan penambahbaikan selepas ini,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan