Parti baharu Dr Mahathir Mohamad sukar dapat sokongan penduduk di Langkawi, tidak seperti Bersatu yang diketuainya semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), berdasarkan tembubual rambang The Malaysian Insight bersama pengundi.
Pengundi yang memilih Dr Mahathir di Langkawi dalam PRU14 malah memberitahu The Malaysian Insight, mereka mungkin tidak akan memilih Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kerana tidak jelas tujuan parti itu perlu ditubuhkan.
Mereka merasakan keputusan bekas perdana menteri menubuhkan parti baharu bukan saja tidak tepat, tetapi sukar mengatasi parti-parti Melayu lain yang kini bergabung atas nama Muafakat Nasional.
Anak jati Langkawi Putra Iqmal Hashim berkata Pejuang mungkin sukar dapat sokongan rakyat walaupun nama Dr Mahathir popular di pulau bebas cukai itu.
“Apabila Pas dan Umno bergabung (dalam Muafakat Nasional) sejak tahun lepas, mereka sudah menjadi gabungan yang kuat.
“Berdasarkan pemerhatian saya, orang Langkawi pun memang mahu Umno dan PAS bergabung terutama dalam kalangan masyarakat Melayu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Jelas Putra Iqmal, berdasarkan pengamatannya, penduduk Langkawi juga hilang percaya kepada Dr Mahathir kerana ada beberapa manifesto ketika PRU lalu tidak ditunaikan.
“Pada awal penubuhan Bersatu mahu tumbangkan Najib Razak, tetapi kini tidak sehaluan dengan Muhyiddin dan sekarang mahu tubuh parti baharu.
“Rakyat Langkawi sukar faham motif sebenar Dr Mahathir walaupun beliau dihormati sebagai negarawan ulung,” katanya.
Mohd Ikhwan Mohd Sanusi dari Sungai Menghulu, Langkawi pula berkata beliau dan rakan-rakannya belum berminat untuk menyertai Pejuang.
Mereka hairan kenapa Dr Mahathir menubuhkan sebuah parti baharu sedangkan beliau sebelum ini mengkritik orang Melayu yang gemar mendirikan parti politik hanya kerana mahu memegang jawatan.
“Dulu Dr Mahathir sendiri kata “orang Melayu ni dia tak pandai berpolitik, dia seronok nak jadi presiden, bila nak jadi presiden dia buka parti”,” katanya.
Ikhwan merujuk kenyataan penjelasan Dr Mahathir pada Julai 2019, semasa mempelawa parti-parti Melayu agar menyertai Bersatu.
“Kami juga masih tertanya-tanya mengapa Dr Mahathir letak jawatan perdana menteri (pada hujung Februari 2020)... kerana beliau beri banyak alasan tetapi tidak kukuh,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu Langkawi Amar Pared berkata beliau tidak berminat untuk menyertai gerakan baharu Dr Mahathir walaupun dahulu menyokong perjuangan bekas pengerusi parti itu.
Baginya, ia akan merugikan dan menyebabkan lebih banyak parti berasaskan kaum Melayu.
“Jika setiap parti ada masalah, ahli keluar dan tubuh parti baru, berapa banyak parti akan ada? apa rakyat akan fikir? Pemimpin ini berjuang dalam parti untuk rakyat atau diri sendiri?”
“Apabila tiga parti Melayu terbesar sudah bergabung dan berdamai, mestinya itu adalah pilihan rakyat yang terbaik,” katanya, merujuk pengumuman Bersatu turut menyertai Muafakat Nasional.
Amar menjelaskan, parti baharu seperti Pejuang akan sukar meraih sokongan rakyat kerana sentimen rakyat lebih menyokong kepimpinan Muhyiddin sebagai perdana menteri.
“Kerajaan pada hari ini sudah laksanakan tanggung jawab yang terbaik dalam menjaga kebajikan rakyat tatkala kita diuji dengan wabak Covid-19 yang belum ada penghujungnya.
“Tetapi sebagai negara demokrasi, rakyat bebas memilih mana-mana parti politik sebagai wadah perjuangan dan ideologi mengikut kehendak individu masing-masing,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan