HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Ogos 2020

Kenapa kerajaan sukar haramkan Dong Zong?

 Athirah Huda Zalhe 

 

ISMA ajak rakyat tandatangan petisyen sehingga cecah 1 juta

BANGI – Apakah sebab kerajaan terlalu sukar untuk mengharamkan Dong Zong, meskipun banyak desakan yang melampau dituntut oleh pertubuhan radikal berkenaan.

Dari pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sehingga bertukar kepada Perikatan Nasional (PN), hayat Dong Zong masih panjang sehingga ke hari ini.

Ketika zaman PH, mungkin pengharaman ke atas Dong Zong sukar dibuat memandangkan wujud sokongan ‘belakang’ dari dalam Kabinet, meskipun Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pertubuhan berkenaan rasis.

Namun bagaimana pula dengan kerajaan sekarang, di mana parti-parti di dalam PN sebelum ini antara yang pernah mendesak supaya Dong Zong diharamkan.

Kekesalan itu juga yang diluahkan Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin, apabila kerajaan sehingga ke hari ini masih gagal mengharamkan Dong Zong.

Beliau berkata, kerajaan masih belum bertindak meskipun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah memulakan langkah dengan menggerakkan petisyen bagi menuntut pertubuhan Cina itu diharamkan.

“Dong Zong adalah sebuah pertubuhan rasis yang telah menimbulkan perpecahan di kalangan rakyat Malaysia di negara tercinta Malaysia.

“Bahkan, ada di kalangan pemimpin Dong Zong sendiri yang pernah dikenakan hukuman dilucutkan kewarganegaraan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau mengajak seluruh rakyat supaya bertindak dengan menandatangan petisyen sokongan ‘Haramkan Dong Zong’ sehingga ia mencecah satu juta.

“Biar rakyat sendiri yang selesaikan! Tolong bantu tularkan supaya cukup 1 juta dan menjadikan ia sebagai petisyen paling tertinggi dalam sejarah negara kita,” katanya.

Setakat hari ini, petisyen yang dilancarkan oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS) di change.org telah berjaya mengumpul 313,657 tandatangan.

Petisyen itu dilancarkan susulan penentangan Dong Zong terhadap usaha kerajaan memperkenalkan tulisan khat Jawi di sekolah vernakular untuk pelajar Tahun 4.

Disebabkan penentangan itu, kerajaan – yang ketika itu di bawah PH – bertolak ansur dan melonggarkan syarat-syarat pelaksanannya sehingga menjadi pilihan dan setakat tiga muka surat dalam buku teks.

Dong Zong juga antara pertubuhan Cina yang lantang mendesak kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan menolak usaha memperkasa tulisan jawi.

Tiada ulasan: