HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Ogos 2020

Sumber Dr M tak boleh percaya, kata Zahid

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang berkata parti itu akan bertanding di semua kerusi yang dimenangi oleh Bersatu serta yang dimenangi oleh Umno tetapi wakil rakyatnya berpaling tadah dengan menyertai Bersatu.

Mengulas kenyataan itu, Zahid berkata Dr Mahathir mungkin mendapat maklumat daripada sumber yang tidak boleh dipercayai.

“Saya fikir elok melihat fakta bahawa kenyataan beliau itu tidak berdasarkan kepada dapatan kajian atau maklumat yang sahih, yang diperolehi dari sumber-sumber yang boleh dipercayai.

“Mungkin apa yang disebut oleh beliau adalah sumber-sumber yang tidak boleh dipercayai sebagaimana beliau jadi pemimpin kerajaan sebelum ini,” kata Zahid kepada pemberita ketika ditemui di Slim, malam semalam.

Zahid hadir di Slim untuk berkempen bagi calon BN Mohd Zaidi Aziz. Hari mengundi bagi pilihan raya kecil (PRK) kawasan tersebut telah ditetapkan pada Sabtu, 29 Ogos ini.

Dr Mahathir menerusi blog semalam, mendakwa bahawa Majlis Tertinggi (MT) Umno telah membuat keputusan untuk bertanding di semua kerusi yang dimenangi Bersatu.

Anggota Parlimen Langkawi itu juga mendakwa menteri dan timbalan menteri dari Bersatu tidak ambil endah akan perkara terbabit kerana mendapat gaji dan elaun besar.

Untuk rekod, sebelum ini, anggota MT Umno Zahidi Zainul Abidin mengumumkan bahawa BN akan bertanding di kerusi yang mana ahli parlimennya berpaling tadah selepas menang pada PRU14.

"Kerusi-kerusi yang BN menang dulu yang melompat, maka kita ambil balik. Itu keputusan MT, bukan keputusan presiden.

“Jadi kalau Bersatu nak, (bertanding di pilihan raya umum) maka dia bertandinglah di kerusi-kerusi yang lain.

"Kerusi-kerusi Bersatu Blackout ke, apa ke, terpulang kepada dialah. Mereka bertanding di tempat itu lah," kata Zahidi.

Tiada ulasan: