Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang ditubuhkan Dr Mahathir Mohamad perlu membawa jenama berbeza berbanding parti berasaskan Melayu-Islam sedia ada, kata penganalisis politik.
Prof Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, ini bagi memastikan parti itu kekal relevan di mata rakyat terutamanya pengundi Melayu sekiranya berhasrat bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.
“Untuk kekal relevan Pejuang perlu dijenamakan berbeza dengan Bersatu, Umno atau PAS.
“Apa yang pengundi nilai ketika ini kehadiran Pejuang tidak ada banyak beza dengan Bersatu, Umno dan PAS iaitu tiada sesuatu yang baru ditawarkan kepada pengundi,” katanya kepada Malaysiakini.
Prof Azmi memberi contoh bekas ketua pemuda Bersatu (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berjaya membawa 'jenama baru' apabila menubuhkan parti berasaskan golongan anak muda.
Dia berkata demikian ketika mengulas kenyataan Mahathir yang mengatakan tujuan penubuhan Pejuang adalah untuk menggantikan Umno dan Bersatu yang didakwa kini tersasar daripada matlamat asal.
Bekas perdana menteri itu berkata Umno dan Bersatu juga perlu digantikan kerana 'mengamalkan rasuah serta mementingkan poket sendiri'.
Bagaimanapun, Azmi berpendapat pengundi Melayu rata-ratanya sudah berasa curiga dengan tuduhan Mahathir terhadap parti-parti berkenaan.
Tak relevan tanpa gabungan parti lain
Untuk rekod, pendaftaran Pejuang kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk dijadikan sebagai sebuah parti politik yang sah masih dalam proses.
Selain Mahathir, enam lagi pengasas parti tersebut adalah bekas pemimpin dan anggota Bersatu iaitu anaknya Mukhriz, Marzuki Yahya, Maszlee Malik, Amiruddin Hamzah,Shahruddin Md Salleh dan Mohamad Nuhairi Rahmat.
Sementara itu, Prof Rusdi Omar dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berpendapat pengundi Melayu akan menyokong mana-mana parti yang boleh membantu mereka.
Oleh itu katanya, Pejuang perlu bersama gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) untuk kekal relevan dan kukuh.
“Tanpa ada gabungan parti politik saya tak nampak Pejuang boleh bertahan. Mereka (rakyat) akan pilih pemimpin atau wakil rakyat yang benar-benar mendengar denyut nadi mereka,” katanya.
“Kalau tanpa kerjasama dari parti lain susah Pejuang nak dapat sokongan dari orang Melayu," katanya.
Menurut Rusdi dan Azmi, penerimaan tersebut boleh dilihat pada pilihan raya kecil Slim di Perak semalam yang menyaksikan calon dari BN Mohd Zaidi Aziz menang besar dengan majoriti 10,945 undi.
Pada PRK berkenaan, calon BN itu menewaskan dua calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang disokong oleh Pejuang dan S Santharasekaran.
Rusdi berkata rakyat kini dilihat gembira dengan petadbiran kerajaan BN kerana menyediakan pelbagai insentif bantuan sewaktu wabak Covid-19 seperti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).
Bagaimanapun katanya masih banyak lagi yang perlu dilakukan kerajaan PN untuk keharmonian dan kesejahteraan rakyat.
Sukar cari pemimpin bebas rasuah
Prof Kartini Aboo Talib dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula mempunyai pandangan berbeza.
Katanya, pengundi terutamanya orang Melayu akan mempunyai banyak pilihan sekiranya Pejuang bertanding dalam PRU15 nanti, walaupun menjangkakan parti itu akan mempunyai jumlah penyokong yang kecil.
Mengulas kenyataan Mahathir mengenai penubuhan Pejuang untuk menggantikan pemimpin yang rasuah, Kartini berkata Mahathir sendiri pernah terpalit dengan beberapa kontroversi ketika menjadi perdana menteri ke-4.
Menurut Kartini, antaranya skandal Perwaja Steel dan isu pemberian kewarganegaraan kepada warga Filipina di Sabah.
“Maka agak sukar untuk mencari pemimpin yang benar-benar bersih rasuah atau korupsi.
“Justeru itu Pejuang boleh terus kekal relevan jika agenda perjuangan adalah jelas untuk rakyat, bangsa dan agama,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan