PUTRAJAYA: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa mengingatkan diri dan parti untuk tidak terlalu yakin akan memenangi pilihan raya negeri (PRN) Sabah selepas menang besar dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN Slim semalam.
Beliau sebaliknya berkata, kekalahan BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) harus dijadikan pengajaran walaupun menang dalam PRK sebelum itu.
“Bila kita terlalu yakin, kita masuk dalam zon bahaya.
“Saya mahu ingatkan diri sendiri dan rakan parti, kita menang semalam bukan bermakna menang mudah di Sabah. Kita tak ambil mudah.
“Jadi sementara kita berterima kasih, hati bersyukur, kita menang majoriti semalam, jangan ia melalaikan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perarakan pasukan berkuda perkhidmatan awam sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 peringkat Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Semalam, BN berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dalam PRK yang diadakan dengan majoriti 5 kali ganda lebih banyak daripada kelebihan 2,183 undi yang diperolehi pada PRU14 lepas.
Gabungan itu yang diwakili oleh Mohd Zaidi Aziz meraih 13,060 undi, menewaskan 2 calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan S Santharasekaran dengan majoriti 10,945 undi.
Dalam pada itu, Annuar berkata, gabungan parti dalam Perikatan Nasional (PN) maupun Muafakat Nasional (MN) dan BN perlu mengambil serius dan memandang penting perkara itu dalam setiap pilihan raya yang diadakan.
“Kita kena buang sikap anggap senang. Kerja keras, kerja dengan bijak dan jangan ambil mudah,” katanya.
Pilihan raya negeri Sabah bakal diadakan pada 26 September ini.
Umno Sabah bersama-sama MCA dan PBRS berada dalam BN, manakala PN terdiri daripada PPBM, STAR SAPP serta PBS dan PAS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan