HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Ogos 2020

Tun M ramal Bersatu bubar, sertai UMNO menjelang PRU-15

Norlaile Abd Rahman
MGF07082020_WADAH-PERJUANGAN-BARU-BERSAMA-AYAHANDA-TUN_09-681x454
Tun Dr. Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR- Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meramalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan dibubarkan dan terpaksa menyertai UMNO apabila kehilangan sokongan daripada UMNO dan Pas pada PRU-15 nanti.

Katanya, kehadiran parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang baharu ditubuhkannya itu telah menyebabkan Bersatu kehilangan sokongan akar umbi.

“Datang Pejuang. Bersatu hilang akar umbi. Banyak pemimpin tapi kurang yang hendak dipimpin. Jadi parti kosong. Akar umbi pindah ke Pejuang.

“Pening kepala Muhyiddin. Tidak ada haluan untuk dituju.

“Cari sakit, dapat sakit,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Mahathir yang pernah menjadi Pengerusi dan pengasas Bersatu itu berkata, keadaan politik yang keliru mungkin menjadi lebih keliru hasil tindakan beberapa parti termasuklah Bersatu yang ditubuhkan untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak kini didakwa beralih menjadi parti untuk menghidupkan bekas Perdana Menteri Keenam itu dan Barisan Nasional.

“Sekarang Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) bergantung kepada UMNO. Jika orang UMNO tidak sokong jatuhlah PN. Sebaliknya jika UMNO tidak sokong mereka juga akan jatuh. Sebab itu UMNO terpaksa sokong,” katanya lagi.

Tambah bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu lagi, Bersatu dan PN akan jatuh sekiranya lima Ahli Parlimen UMNO yang ketika ini sedang dibicarakan (termasuk Najib yang sedang dalam proses rayuan) dijatuhkan hukuman serta hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

“Untuk elak dari ini berlaku, Perdana Menteri perlu cari ganti. Maka Bersatu pun gugur kedudukan sebagai parti pribumi dan membuka keahlian kepada semua kaum. Kekalkah nama PPBM.

“Ini kali keempat Bersatu mungkir janji. Sekarang Bersatu membuat keputusan untuk gabung dengan Muafakat Nasional.

“Tetapi Muafakat Nasional adalah gabungan parti Melayu Islam. Bersatu parti berbilang kaum dan agama. Apa jadi kepada Muafakat. Masih Melayu Islamkah?” soalnya.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: