HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Ogos 2020

Rancangan Syed Saddiq: 'Pecahkan' amalan lama politik Malaysia

WAWANCARA | Sepertimana perkhidmatan e-hailing mengubah pengangkutan awam dan e-dagang terhadap peruncitan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sedang membina pasukan dengan tujuan 'memecahkan' amalan lama politik Malaysia?

Ramuannya?

Barisan pemimpin muda dari pelbagai kaum yang faham teknologi, dasar inovatif serta komitmen untuk membuktikan gerakan politik boleh bertahan tanpa perkaitan dengan kroni atau taikun.

Dalam wawacara bersama Malaysiakini, anggota Parlimen Muar itu menekankan "platform, gerakan atau mungkin juga parti" yang ingin dibawanya akan mengutamakan kepelbagaian.

"Kekuatan Malaysia adalah kepelbagaiannya.

"Sebab itu (gerakan ini) pelbagai kaum dan agama, dan benar-benar merangkumi 'lapangan tengah' Malaysia, iaitu kesederhanaan.

"Kami akan dengan tegas mematuhi Perlembagaan Malaysia dan paling penting, Rukun Negara yang akan menjadi prinsip yang memandu platform ini untuk menjamin hala tuju kami tidak menyimpang," katanya.

Dipimpin orang muda, dipandu dasar

Satu lagi ciri utama gerakan itu adalah dibarisi golongan muda di kalangan profesional, aktivis, pengasas startup, ahli akademik dan pendakwah, selain ahli politik.

Dengan kepakaran mereka, Syed Saddiq berkata gerakan itu akan mampu membawa dasar yang inovatif dan mengutamakan rakyat.

"Oleh kerana ia merangkumi profesional, teknokrat dan pemimpin masyarakat sivil yang bermula dari bawah, ia perlu dipandu oleh dasar.

"Mereka ingin memastikan reformasi ekonomi yang benar berlaku, tidak lagi hanya membantu kelas elit atau bilionnaire.

"Mereka juga memastikan peluang kerja diwujudkan dan jurang pendapatan dikurangkan," katanya lagi.

Anggota gerakan itu, dipanggil "Muda Malaysia" pada masa ini, dijangka mengadakan mesyuarat rasmi pertama di Kuala Lumpur hari ini untuk menentukan langkah seterusnya.

Antara mereka yang mengesahkan kehadirannya ialah bekas CEO Permodalan Nasional Berhad Abdul Jalil Rasheed serta sejumlah pengasas startup, iaitu Vinesh Sinha (FatHopes Energy), Liew Ooi Hann (RinggitPlus), Nadhir Shafiq (TheLorry) dan Radzi Tajuddin (Hartabumi).

Abd Jalil Rasheed

Turut hadir adalah guru Cheryl Ann Fernando - yang mana kisahnya diadaptasi kepada filem Adiwira, peguam Lim Wei Jiet, pendakwah Rahmat Ikhsan (PU Rahmat) dan Shahrizal Denci, yang terlibat dalam pertanian.

Barisan aktivis yang akan menyertainya pula adalah pengasas bersama Undi18 Qyira Yusri, Syed Azmi Alhabsi (hak kanak-kanak), Shahar "Shaq" Koyok (isu Orang Asli) serta Amir Abd Hadi dari Liga Rakyat Demokratik.

Malah, penyelidik Centre for Governance and Political Studies dan anggota Pemuda Umno Zaidel Baharuddin turut ada dalam senarai kehadiran.

Dengan PRN Sabah akan berlangsung bulan depan, dan PRU dijangka berlaku awal tahun depan, Syed Saddiq mengakui gerakan itu belum memutuskan sama ada akan meletakkan calon atau tidak.

Cheryl Ann Fernando

Soal kekal sebagai gerakan atau didaftarkan untuk menjadi parti politik juga belum ditentukan.

"Saya sendiri percaya kepada persiangan yang sihat dan positif.

"Pada akhirnya, kita ingin memastikan semua parti dan platform yang bersaing mengangkat suara orang muda ke tahap yang lebih baik.

"Jika hari ini kita meletakkan 10 calon muda, parti lain akan letak 20 (calon). Di masa akan datang, saya akan letak 30 orang dan mereka akan calonkan lebih ramai lagi," katanya.

Syed Azmi

Tiada 'panglima' atau taikun

Selain golongan profesional dan aktivis, Syed Saddiq berkata platformnya percaya kepada perwakilan politik yang pelbagai dan akan membawa pemimpin akar umbi dari kawasan pedalaman ke hadapan.

Bagi mengekang pengumpulan kuasa, ia akan melaksanakan "had penggal" yang ketat bagi menjamin kenaikan pemimpin-pemimpin baru secara berterusan.

Ia juga ingin menjadi pembawa perubahan kepada bagaimana politik didanai.

Gerakan itu, kata Syed Saddiq, kini didanai oleh pemimpin dan anggota sendiri.

"Dana dari poket kami sendiri," katanya.

Katanya lagi, pengalaman empat tahun sebagai ketua Pemuda Bersatu menunjukkan cara lama dalam mengendalikan sumbangan politik dan pemberian insentif kepada anggota akar umbi untuk berkhidmat, perlu diubah.

Dia berkata gerakan itu akan mengutamakan sumbangan dana orang ramai (crowdfunding) secara dalam talian dan meletakkan had kepada penyumbang individu dan juga korporat untuk memastikannya "tidak menghambakan diri" kepada kepentingan pihak lain.

Dengan pelaksanaan peraturan pendanaan politik serta proses penyegaran kepimpinan secara berterusan, pemuda berusia 28 tahun itu berkata ia adalah formula untuk "menjungkir balik" budaya politik Malaysia.

"Kita perlu 'memecahkan' (disrupt) proses pendanaan politik agar 'panglima' parti (warlord) tidak wujud. Pada masa sama, kita ingin memastikan ada latihan parti berterusan agar apabila anda tahu masa memimpin akan tamat, anda boleh melatih pemimpin lain untuk naik.

"(Jadi) ia menjadi proses yang sangat kompetitif yang benar-benar menyemai politik berasaskan perkhidmatan dan bukan kuasa, pecah-belah atau wang dan kontrak," katanya lagi.

"Semua amalan lama politik itu perlu dibuat. Ini adalah politik baru sebenar yang kita ingin wujudkan di Malaysia," katanya lagi.

Tiada ulasan: