HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Ogos 2020

UMNO pun bersama MCA, MIC – Ismail Sabri

Mohammad Arif Nizam
MGF29082020_HARI-MENGUNDI-PRK-SLIM_39-681x454
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob 
berbual bersama pengundi pada hari pengundian sempena 
Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di hadapan Sekolah 
Kebangsaan Aminuddin Baki, Slim River, Perak. foto 
FAREEZ FADZIL,

SLIM RIVER – Kenyataan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah agar pemimpin UMNO yang menganggotai Kabinet Perikatan Nasional (PN) wajar menarik diri daripada kerajaan adalah pandangan peribadi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, parti itu mengamalkan sikap terbuka apabila membenarkan ahli hingga pimpinan tertinggi memberi pandangan.

Namun tegasnya, keputusan muktamad adalah kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

“Kita dalam UMNO sesiapa sahaja bebas memberi pandangan daripada ahli sehingga di peringkat tertinggi dan apa-apa keputusan sesiapa sahaja boleh buat pandangan tapi keputusan muktamad hanya boleh dibuat Majlis Tertinggi UMNO.

“Itu pandangan perbadi bukan pandangan parti, pandangan parti hanya dikeluarkan selepas mesyuarat MT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Aminuddin Baki bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Slim hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Tengku Razaleigh yang menyarankan pemimpin UMNO yang menganggotai Kabinet PN wajar menarik diri daripada kerajaan.

Ahli politik veteran itu berkata, ini kerana tindakan Bersatu membuka keanggotaan kepada bukan Bumiputera menjadikan parti itu tidak lagi layak berada dalam “pakatan Melayu-Islam yang didukung Muafakat Nasional (MN)”.

Ismail Sabri menambah, perkara itu tidak sepatutnya menjadi isu kerana dalam PN terdapat parti bukan Melayu dan sebagainya.

Malah jelasnya, beliau difahamkan Bersatu akan menjadi parti campuran tidak lama lagi.

“UMNO pun bersama MCA dan MIC iaitu komponen BN, dalam MN kita bersetujui bahawa bukan sahaja UMNO dan Pas tetapi bersama dengan MCA dan MIC.

“Jadi tak timbul isu, kalau dalam PN ada parti bukan Melayu dan sebagainya.

“Dia (Bersatu) parti campuran saya difahamkan, tapi dalam kita pun walaupun UMNO parti Melayu Bumiputera sepenuhnya tapi rakan kita MCA dan MIC adalah parti kaum Cina dan India.

“Saya percaya isu seperti ini tidak sepatutnya timbul,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: Terima bukan Melayu jadi ahli, Bersatu tak layak sertai MN – Ku Li

Tiada ulasan: