HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Ogos 2020

Sertai PN satu beban berat, kata presiden SAPP

Yong Teck Lee (kanan) menyerahkan borang permohonan SAPP 
menyertai PN kepada Muhyiddin Yassin di Kota Kinabalu 
semalam. (Gambar Facebook)

KOTA KINABALU: Presiden SAPP, Yong Teck Lee menyifatkan penyertaan parti itu dalam Perikatan Nasional (PN) ialah beban berat selepas 12 tahun mereka menentang kerajaan.

Katanya, kini mereka perlu cuba menyelesaikan apa yang disuarakan ketika menentang kerajaan dahulu.

“Kami belum berada dalam kerajaan, kami hanya menyertai gabungan pemerintah, iaitu PN dan bagi saya ini satu beban berat selepas 12 tahun menentang kerajaan.

“Sebelum ini, kami hanya ‘melihat’ kerajaan dari luar, menentang mereka, namun banyak benda yang kami telah pelajari.

“Sepanjang berada di luar daripada kerajaan dulu, kami merasai kesusahan rakyat, kami mendengar rintihan mereka dan suarakan kepada kerajaan, ia satu pengalaman baik yang kami akan manfaatkan dalam PN,” katanya selepas penyerahan borang permohonan SAPP menyertai PN kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin di sini, semalam.

Bekas ketua menteri Sabah itu berkata, SAPP menyertai PN disebabkan keadaan politik semasa, khasnya dalam usaha menentang kerajaan Sabah yang diterajui Warisan.

“Kami melihat kepada situasi politik yang mana bagi saya, ia situasi baru, seperti mana juga kata PM, norma baru. Jadi, kami memutuskan untuk berada dalam PN, ia satu gabungan yang bukan BN dan bukan juga PH (Pakatan Harapan).”

Mengenai jumlah kerusi yang akan ditandatangani SAPP pada Pilihan Raya Negeri Sabah bulan depan, Yong berkata, ia masih dalam perbincangan.

Beliau mengesahkan parti itu akan bertanding menggunakan lambang PN.

Sebelum ini, SAPP ialah parti komponen BN sebelum ia meninggalkan gabungan itu pada 2008.

Parti itu kemudiannya menjadi pembangkang di Sabah dan pernah bekerjasama dengan beberapa parti pembangkang lain untuk menentang kerajaan BN.

Bagaimanapun, SAPP dilihat gagal memperluaskan pengaruh mereka di Sabah dan tidak memenangi kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Tiada ulasan: