HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Ogos 2020

PRK Slim: Barisan Nasional menang besar

Mohammad Arif Nizam
MGF29082020_KEPUTUSAN-PRK-SLIM04-681x454
Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid 
Hamidi diiringi Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk 
Seri Mohamad Hasan (empat kanan), bekas Perdana Menteri, 
Datuk Seri Najib Tun Razak (tiga kiri) bersama barisan 
kempimpinan tertinggi Barisan Nasional yang lain serta calon 
Barisan Nasional, Mohd Sharim Md Zain (tengah) semasa
pengumuman keputusan rasmi pada Pilihan Raya Kecil 
(PRK) N. 58 Slim di Pusat Perjumlahan Undi, Dewan Sri 
Tanjung, Tanjung Malim, Perak. foto AFFAN FAUZI,

TANJUNG MALIM – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim menepati ramalan apabila Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi itu menerusi kemenangan besar calonnya, Mohd. Zaidi Aziz.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim itu menang selesa dengan majoriti 10,945 undi apabila memperoleh 13,060 undi manakala dua pencabarnya dari bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, dan S. Santharasekaran, 44, yang turut hilang wang deposit.

Amir Khusyairi mewakili Parti Pejuang Tanahair yang dalam proses pendaftaran pimpinan Tun Dr Mahathir memperoleh 2,115 undi manakala Santharasekaran dengan 276 undi, sementara 327 undi ditolak.

Keputusan rasmi PRK DUN Slim itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Shamsul Ridzuan Idris di pusat penjumlahan undi di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim di sini pukul 9 malam ini.

Turut hadir Mohd Zaidi, Presiden BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak.

Peratusan keluar mengundi pada PRK DUN Slim merekodkan 68.4 peratus berbanding sasaran SPR sebelum ini 85 peratus.

Proses pengundian di semua 12 pusat mengundi membabitkan 54 saluran dibuka dari 8 pagi hingga 5.30 petang tadi.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim pada 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

Mohd Khusairi dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-11 pada 2004.

Pada PRU14, allahyarham mempertahankan kerusi dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon Pas, Muhammad Zulfadli Zainal.

Khusairi mendapat, 8,327 undi, calon Bersatu, Mohd. Amran (6,144 undi), dan Muhammad Zulfadli mendapat 4,103 undi.

PRK DUN Slim turut mencatat sejarah sebagai pilihan raya kedua berlangsung dalam normal baharu susulan pandemik Covid-19 selepas PRK DUN Chini bulan lalu. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: