HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Ogos 2020

MN diterima rakyat, faktor menang PRK Slim

HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR: PAS merakamkan tahniah kepada calon BN, Mohd Zaidi Aziz yang meraih kemenangan pada PRK DUN N.58 Slim sebagaimana pengumuman oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sebentar tadi.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kemenangan tersebut adalah bukti kukuh bahawa Muafakat Nasional (MN) melibatkan PAS dan Umno diterima oleh rakyat di mana akan dimantapkan dengan penyertaan BERSATU nanti.

“Saya baru menerima call dari Presiden Umno (Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) merakamkan tahniah dan terima kasih kepada Presiden PAS (Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang) dan seluruh kepimpinan dan jentera parti (PAS) yang bertungkus lumus menjayakan kemenangan kali ini.

“Terima kasih kepada petugas yang sedia melaksanakan arahan parti. Saya yakin gelombang kebangkitan Muafakat Nasional akan lebih mantap dengan penyertaan BERSATU dalam gabungan ini. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh,” katanya.

Senada dengan itu, Ahli Parlimen Kuala Krai, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman juga menyifatkan kemenangan ini mengambarkan bahawa Muafakat Nasional benar-benar telah menyentuh hati rakyat Malaysia.

“Kemenangan ini juga mengambarkan petanda baik untuk Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional dalam PRU nanti. PAS sentiasa istiqamah dan akan mempertahankan gabungan ini demi agama, bangsa dan negara.

“Rakyat sudah mula melihat dan merasai gabungan ini sebagai wadah terbaik untuk kebaikan semua. Pastikan hanya pertandingan dua penjuru dan kita akan menang besar, Insya-Allah,” ujarnya.

Beliau berharap semoga kemenangan ini menjadi pembakar semangat untuk semua jentera parti bagi menghadapi PRU15 yang dijangka bakal berlaku tidak lama nanti.

Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh juga menyifatkan kemenangan tersebut lantaran kepercayaan tinggi pengundi-pengundi di DUN Slim kepada calon yang mewakili Muafakat Nasional.

Malah katanya, PRK kali ini menampakkan kesediaan daripada pengundi kaum Cina untuk turut memberi undi kepada kerjasama Perikatan Nasional yang membawa kepentingan untuk membina perpaduan antara kaum itu.

Beliau merakamkan syukur dan tahniah di atas kemenangan tersebut serta penghargaan terima kasih kepada seluruh pengundi atas kepercayaan yang diberi serta petugas parti-parti. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: