Pemimpin Umno yang menganggotai Kabinet Perikatan Nasional (PN) wajar menarik diri daripada kerajaan, menurut Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah.
Ahli politik veteran itu berkata, ini kerana tindakan Bersatu membuka keanggotaan kepada bukan Bumiputera menjadikan parti itu tidak lagi layak berada dalam "pakatan Melayu-Islam yang didukung Muafakat Nasional (MN)".
"Umno tidak pernah menjadi anggota kerajaan PN, (sebaliknya) hanya memberi sokongan dari awal penubuhan kerajaan ini untuk menjaga dan memelihara kestabilan politik negara.
"Dengan berlakunya perubahan yang diumumkan oleh Bersatu, wajar ahli-ahli Umno yang menganggotai kabinet berundur daripada melibatkan diri dalam kerajaan sekarang," kata anggota Parlimen Gua Musang itu dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 22 Ogos lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mencadangkan penubuhan sayap baru dalam parti itu bagi membolehkan ahli bersekutu bukan Melayu memegang jawatan.
Perkembangan itu selepas Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali mengumumkan menyertai Bersatu secara rasmi, bersama-sama penyokongnya termasuk bekas pemimpin dan bekas ahli PKR dari kalangan bukan Melayu.
Dalam ucapannya di Kongres Nasional 2020, Muhyiddin mengatakan dia secara peribadi sudah mengemukakan usul itu dan menugaskan sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh Rais Yatim untuk meneliti penubuhan sayap berkenaan.
Menurut Muhyiddin, cadangan jawatankuasa itu akan diajukan ke Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan penubuhan sayap itu akan dilakukan melalui Perhimpunan Agung Luar Biasa.
Sementara itu Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, langkah keluar dari kabinet itu perlu dilakukan secepat mungkin.
"Ini patut dilakukan secepat mungkin supaya kita tidak membuang masa seperti untuk memberi tumpuan kepada masalah-masalah yang lebih besar seperti kedudukan muda- mudi yang susah mencari pekerjaan dalam keadaan kita menghadapi pandemik Covid-19 yang mengancam negara pada masa ini.
"Lagipun perkara sebesar ini sepatutnya dibawa ke perhimpunan agung parti tidak lama lagi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan