HALAMAN SANTAI

Jumaat, 11 September 2020

DUN Senallang: Dulu lawan sepupu, kini Shafie bakal lawan anak buah

Norazman berkata tiada istilah gentar dalam kamus hidup 
beliau walaupun perlu berhadapan dengan Shafie.

SEMPORNA: Pengumuman calon bagi pilihan raya negeri (PRN) Sabah oleh beberapa parti utama hari ini turut menyaksikan Warisan Plus, mengambil strategi mengekalkan muka lama di kawasan yang menjadi kubu kuatnya, meliputi beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pantai Timur Sabah.

Berdasarkan rekod menyapu bersih semua kerusi dalam Parlimen Semporna pada PRU14, Warisan dilihat mengekalkan penyandang sebagai calon bagi 3 kerusi iaitu Ketua Wanita Warisan Semporna Manis Muka Mohd Darah (Bugaya), Naib Presiden Parti Warisan Sabah Jaujan Sambakong (Sulabayan) dan Presiden Parti Shafie Apdal sendiri yang mempertahankan kerusi DUN Senallang.

Shafie antara lain bakal dicabar calon Perikatan Nasional (PN) yang juga anak buahnya sendiri, Norazman Utoh Nain yang juga Naib Ketua PPBM bahagian Semporna.

Pada PRU14 yang lepas, kerusi DUN berkenaan turut menyaksikan pertembungan 1 lawan 1 antara Shafie dengan sepupunya, calon Barisan Nasional (BN) Nasir Tun Sakaran, dengan keputusan memihak kepada Shafie yang memperoleh 7,754 undi.

Ketika dihubungi Bernama, Norazman, 45, berkata walaupun berstatus muka baharu, tiada istilah gentar dalam kamus hidup beliau walaupun perlu berhadapan dengan Shafie, yang juga merupakan rakan seperjuangannya ketika bersama dalam Umno sebelum ini.

“Bapa saya dengan Shafie ini 2 pupu, saya panggil dia pak cik.

“Saya tidak boleh mendabik dada dan yakin saya boleh menang, tapi saya yakin insyaAllah kerja keras sudah pasti akan membuahkan hasil,” katanya.

Selain di Parlimen Semporna, Warisan turut mengekalkan penyandang sebagai calon di kerusi DUN di bawah Parlimen Lahad Datu iaitu Dumi Pg Masdal (Silam), Norazlinah Arif (Kunak) dan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Warisan, Assafal P Alian (Tungku).

Turut mencuri tumpuan ialah apabila Ahli Parlimen Lahad Datu yang juga bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohammadin Ketapi diumum sebagai calon bagi kerusi baharu Segama, 1 daripada 13 DUN baharu di Sabah.

Sementara itu, penganalisis politik Sabah Syahruddin Awg Ahmad berkata terdapat 2 sebab utama mengapa Warisan bertindak mengekalkan muka lama sebagai calon iaitu faktor sokongan yang masih kuat di peringkat akar umbi terhadap parti itu serta faktor kekeluargaan dan kekerabatan di kawasan tersebut.

“Sentimen pengundi agak berbeza, mereka lebih selesa sekiranya individu yang mereka sudah kenali menjadi wakil rakyat. Mereka akan pilih calon bukannya parti.

“Sementara itu, pemimpin Warisan negeri juga mahu calon-calon yang sudah biasa bekerja sesama mereka kerana mereka sudah ada ‘network’ sesama sendiri dan ini akan memudahkan kerja mereka kelak,” katanya.

Mengulas mengenai strategi Barisan Nasional (BN) yang meletakkan banyak muka baharu kali ini pula, Syahruddin yang juga pensyarah kanan di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan Universiti Malaysia Sabah berkata ia bagi mendengar suara akar umbi yang mahukan pembaharuan serta cuba memberi nafas baharu kepada parti itu.

“Ia selaras dengan autonomi diberikan oleh BN pusat,” katanya.

Warisan turut bertanding di semua 3 kerusi di bawah Parlimen Tawau serta 4 kerusi di bawah Parlimen Kalabakan, dengan turut menamakan semula calon yang kalah pada PRU14 lepas seperti Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik), Andi Rus Diana Andi Paladjareng (Balung) selain mengekalkan Ketua Warisan Kalabakan Sariffudin Hata sebagai calon di kerusi DUN Merotai.

Tiada ulasan: