Kota Bharu: Pas mengingatkan ahlinya tidak mewujudkan sebarang perpecahan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) supaya tidak menjadi lesung dan alu berlaga, ayam pula yang kenyang.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu wajib menghadapi PRU-15 dengan usaha perpaduan yang sedang dibina hari ini.
"Sekarang kita sudah tangkap ayam yang makan beras dan padi yang tumpah, maka jangan diulang lagi dalam PRU-15 sehingga ayam pula terlepas, tangan pula berbau tahi.
"Mari sama kita berakit, kita sambut datang membeli, teguh bersatu laksana bukit, anjing menyalak jangan dipeduli," katanya dalam ucapan dasar perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-66, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas melihat kegagalan Pakatan harapan (PH) yang tidak mampu bertahan dengan menganggapnya disebabkan tangan yang bercakaran sesama sendiri.
Menurutnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini menyambung pentadbiran negara dan langkah mengambil alih kerajaan yang dikosongkan oleh PH bukan langkah spontan atau segera.
"Perpaduan Islam dimulakan dengan penggabungan Pas dan Umno terlebih dahulu bagi menegakkan kepimpinan Islam sehingga Umno meminda perlembagaannya dengan meletakkan Islam di hadapan kerana semangat Muafakat Nasional.
"Kemudian diikuti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan pecahan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Gabungan Parti Sarawak (GPS), parti yang mewakili pelbagai kaum dan agama termasuk parti bukan Islam yang menerima konsep perpaduan nasional seterusnya PN Berjaya ditubuhkan.
"Kerajaan PN hari ini menyambung suatu wawasan baharu yang sedang diisi dalam masa terdekat dan singkat menerusi kerajaan sementara ini serta bersedia untuk membina sebuah kerajaan yang lebih kukuh melalui demokrasi dan menjadi pilihan rakyat dalam PRU-15 nanti," katanya.
Muktamar Tahunan PAS kali ke-66 ini memilih tema 'Islam Memperkukuh Perpaduan' yang juga rantaian dari tema muktamar terdahulu.
Abdul Hadi turut meletakkan Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik dalam usaha menzahirkan tema terbabit dalam perjuangan kerajaan kini.
Beliau berkata, konsep Perpaduan Ummah yang berpandukan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah adalah berteraskan kepada akidah keimanan yang dibuktikan dengan amal soleh iaitu perjuangan dalam menegakkan Islam yang berdaulat.
"Tema ini yang dibuktikan oleh Rasulullah SAW pada permulaan ketika berjuang menegakkan Islam dalam diri, keluarga, jemaah dan masyarakat sekali gus menjadikan umatnya berkuasa sehingga mampu memimpin dunia selama berabad lamanya.
"Umat Islam hari ini lemah apabila tidak mengamalkan ajaran Islam yang sempurna sebagaimana yang dilakukan oleh umat terdahulu terhadap kitab Allah, maka sudah menjadi kewajipan kita untuk mengembalikan umat Islam kepada petunjuk Allah bagi meletakkan Islam memimpin semula," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan