HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Oktober 2020

Benarkah Najib jadi 'kunci' kemaraan Anwar, DAP?

Wan Syamsul Amly 


TANDA TANYA apa langkah yang akan dilakukan Barisan Nasional (BN) dalam situasi politik semasa pasti menjadi antara topik utama perbualan rakyat di alam nyata mahupun netizen di dunia maya.

Bilangan 41 kerusi milik BN jangan sesekali dinafikan kekuatannya boleh menentukan jatuh atau kekalnya kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Perjumpaan Ahli Parlimen BN yang berlangsung pada petang Isnin seolah-olah tidak membawa mesej jelas dan sehingga kini tiada sebarang keputusan muktamad yang diperolehi mereka.

Dilaporkan, bekas Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak memberitahu, mesyuarat itu medan untuk mereka yang hadir memberikan pandangan selain tiada keputusan dicapai sama ada Muhyiddin perlu membubarkan Parlimen supaya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dapat diadakan dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, beberapa sumber yang menghubungi penulis dan berada di dalam mesyuarat itu memberitahu, rata-rata tergamam apabila Najib membuat permintaan untuk BN mula bekerjasama dengan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dikatakan juga, Najib memberikan alasan keseimbangan jawatan yang tidak begitu jelas diperincikan kepada kalangan Ahli Parlimen BN sendiri.

Difahamkan juga, cadangan Najib itu dikatakan tidak masuk akal dan jika benar-benar berlaku, ia sekali gus membuka pintu seluasnya untuk UMNO bekerjasama dengan Anwar dan menerima DAP sebagai kerajaan.

Beza Ideologi

Tentu cadangan itu menerima pelbagai tanda tanya dan pasti BN terutama UMNO tidak mahu bekerjasama dengan DAP yang berbeza jauh dari segi ideologi, perjuangan, matlamat serta hala tuju masing-masing dalam politik dan kepentingan kepada rakyat.

Ia pasti menjadi titik mula kecelaruan dan menambah sejarah percakaran dua parti yang diibarat tidak boleh bersama sejak berzaman seperti pepatah anjing dengan kucing.

Cadangan Najib itu juga menjadikan mesyuarat 'tergendala' seketika. Bagaimana tidak, ia benar-benar di luar logik akal yang dikeluarkan sendiri daripada seorang bekas pemimpin nombor satu parti Melayu paling lama di negara ini.


Dalam pada itu, sumber memberitahu, wajah tenang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sepanjang lebih tiga jam mesyuarat itu jelas terpancar kerana jelas daripada kenyataan Presiden UMNO itu sebelum ini yang sudah menoktahkan sebarang kerjasama dengan Anwar mahupun DAP.

Keputusan Ahmad Zahid itu juga sudah dimeterai dari kata sepakat yang diperoleh atas sebulat suara Majlis Tertinggi UMNO sebelum ini.

Walaupun rakyat tahu, Ahmad Zahid sendiri berhadapan dengan pelbagai kes mahkamah, beliau dilihat lebih mementingkan keputusan serta pandangan semua pihak sebelum membuat apa juga keputusan yang boleh mempengaruhi atau mencetus persepsi masyarakat serta ahli UMNO sendiri.

Beberapa cadangan untuk memperkukuh parti ditimbulkan sepanjang mesyuarat berlangsung, ada juga yang memanaskan situasi termasuk pandangan Najib itu, namun Ahmad Zahid tetap tenang mendengar setiap patah kata-kata yang keluar daripada Najib kerana sebagai nakhoda, paling penting pada saat ini adalah merealisasikan hasrat melihat masa depan BN dan UMNO menyinar di hati rakyat seperti yang pernah dikecapi parti itu satu masa dahulu.

Pada saat pandemik COVID-19 masih di tahap menakutkan, angka yang tinggi setiap hari serta trauma rakyat untuk bebas ke sana ke sini, sebarang keputusan yang akan diambil UMNO selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini buat masa sekarang pasti akan mencetuskan perubahan.
Pasti, dalam situasi sekarang, drama politik sebenarnya belum lagi berakhir dan apa sahaja langkah yang akan dilakukan Muhyiddin - sama ada meletak jawatan atau membubarkan Dewan Rakyat akan didorong oleh keputusan yang diambil BN dan UMNO selepas ini. Itu faktanya.

Namun, harapan rakyat tetap perlu diutamakan, walau apa hasilnya kelak perlu sejajar titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah yang mahu negara diselamatkan dari kesan-kesan akibat COVID-19 yang bukan sahaja mencetuskan krisis politik malah kemelut ekonomi dan isu sosial tempatan.

(*) Wan Syamsul Amly
wartawan di Astro AWANI

MR :  Najib nak lepas diri... demi survival politik

Tiada ulasan: