PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) hari ini memaklumkan permohonan pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) belum dapat diselesaikan kerana masih dalam penilitian dan semakan.
JPPM berkata, berdasarkan rekod jabatan sehingga 29 Okt, permohonan Pejuang belum diselesaikan sepenuhnya dan masih berada dalam sistem eROSES.
“Bagi tujuan tersebut, pihak jawatankuasa penaja diingatkan supaya berhubung terus dengan JPPM bagi menyelesaikan urusan permohonan pendaftaran tersebut.
“Jawatankuasa telah dimaklumkan mengenai keperluan pendaftaran yang lengkap melalui sistem sebelum pertimbagan sewajarnya dilakukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jabatan itu turut menegaskan, dakwaan Pejuang sebelum ini berhubung ketiadaan tanda bahawa permohonan parti itu akan diluluskan setelah lebih 2 bulan ia dibuat merupakan tuduhan tidak berasas.
“Dakwaan berkenaan adalah tidak wajar kerana pihak jawatankuasa penaja parti sudah beberapa kali mengadakan perbincangan bersama pihak JPPM bagi tujuan semakan dan mendapatkan pandangan mengenai tindakan lanjut yang perlu diambil berhubung permohonan tersebut.
“Ia seperti yang dinyatakan sendiri oleh Pejuang dalam kronologi kenyataan media mereka bertarikh 29 Okt,” katanya.
JPPM berkata, sebagai jabatan yang menguakuasakan Akta Pertubuhan 1966 dan mengawal selia semua pertubuhan berdaftar di Malaysia menegaskan bahawa jawatankuasa penaja parti itu tidak boleh menggunakan apa-apa logo, lambang serta simbol sebelum pertubuhan itu didaftarkan secara sah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan