HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Oktober 2020

Sekadar cadangan apa salahnya?

Syahril A. Kadir
myPPP kini perlu meneruskan kelangsungan hidup dalam arus politik tanahair tanpa Tan Sri M. Kayveas selepas ini. Sebagai permulaan, parti itu disarankan supaya meneruskan usaha menstabilkan ahlinya untuk menjamin kemenangan BN pada Pilihan Raya PRU14, kata Profesor Dr. Sivamurugan Pandian.
Profesor Dr. Sivamurugan Pandian.

KUALA LUMPUR – Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat menggunakan saluran dan platform yang betul dalam menyuarakan pandangan beliau apabila mencadangkan kerjasama bersyarat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa mesyuarat parti itu kelmarin.

Apatah lagi sebagai seorang yang veteran dan berpengalaman luas dalam parti serta pentadbiran negara, Najib sudah tentu mengambil kira pelbagai faktor bila menyuarakan cadangan tersebut biarpun menyedari tentangan yang mungkin terpaksa beliau hadapi di dalam partinya.

Penganalisis politik, Profesor Dr. Sivamurugan Pandian berkata, sesebuah parti politik memerlukan dinamika dalam perjuangan mereka sebab itu terdapat istilah ‘tidak ada sahabat atau musuh yang kekal’ di dalam politik.

“Mahu tak mahu, suara Anwar tetap relevan kerana beliau adalah Ketua Pembangkang dan telah masak dengan permainan politik negara.

“Jadi bila Najib menyuarakan cadangan itu, beliau pastinya turut mengambil kira perkara tersebut.

“Bagi saya pula, apa pun yang disuarakan oleh Najib, itu cuma satu cadangan dan bukannya satu arahan kepada partinya, jadi saya tak nampak beliau berbuat sesuatu yang salah apatah lagi pandangan itu dibuat dalam platform yang betul di mana setiap yang ada dalam mesyuarat itu bebas untuk berbahas mengenai cadangan yang dikemukakan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Najib sebelum ini, mengakui mencadangkan rundingan dengan Anwar.

Namun, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, rundingan itu termasuk dengan semua parti politik kecuali DAP, dan laporan yang beliau ‘mendesak’ BN untuk menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri adalah kurang tepat.

Beliau menjelaskan, kerjasama bersyarat dengan PKR tanpa DAP bukanlah satu-satunya cadangan yang diutarakannya semasa mesyuarat bersama ahli-ahli Parlimen UMNO semalam.

Tambah beliau, niatnya ketika membawa cadangan tersebut ke dalam mesyuarat adalah untuk dibincangkan dengan mendalam oleh setiap ahli parlimen yang hadir. Ia tidak bermaksud setiap cadangan berkenaan wajib dilaksanakan.

“Ada yang tuduh saya pencinta atau BFF Anwar. Malah ada mengeluarkan kembali foto saya menziarahi Anwar di hospital. Saya melawat ramai pemimpin politik ketika mereka sakit biarpun tidak sehaluan dalam politik.

“Ada yang tuduh saya nak lepaskan dari kes-kes mahkamah saya. Ada yang kecam saya gila kuasa,” kata Najib dalam salah satu hantaran dalam Facebook rasmi beliau.

Mengenai desakan agar Najib dikenakan hukuman oleh Lembaga Disiplin UMNO termasuk dipecat atas pandangannya itu, Sivamurugan menyifatkan ia tidak berasas sama sekali.

“Parti politik selalu menegaskan mengenai keterbukaan mereka untuk menerima kepelbagaian pandangan daripada para ahli, ini jugalah yang dilakukan oleh Najib.

“Pada peringkat sekarang, apa yang patut parti politik seperti UMNO buat adalah mengukuhkan perpanduan di kalangan mereka supaya mereka boleh berhadapan dengan parti lawan khususnya menjelang pilihan raya yang akan datang.

“Ini bukan masanya untuk berpecah belah hanya disebabkan perbezaan pendapat dan cadangan di antara pemimpin atau ahli di dalam parti itu sendiri,” kata Sivamurugan. – Malaysia Gazette.

Tiada ulasan: