MALAYSIAKINI
Laman sosial Twitter menyembunyikan ciapan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataan Presiden Perancis Emmanuel Macron kerana menurutnya "mengangkat keganasan".
Apabila kenyataan itu diulang ciap, ia akan digantikan dengan pesanan yang mengatakan "Ciapan ini mencabuli Peraturan Twitter berkaitan mengangkat keganasan".
"Bagaimanapun, Twitter memutuskan agar ciapan itu kekal dapat diakses kerana mungkin berkaitan dengan kepentingan awam".
Pesanan daripada Twitter itu juga menyediakan pautan kepada pengguna lain untuk tetap menunjukkan ciapan Mahathir atau membaca lebih lanjut mengenai dasar pengecualian kepentingan awamnya.
Di bawah dasar itu, ciapan yang sepatutnya dipadam boleh dikekalkan jika langkah itu dianggap untuk kepentingan awam. Ia hanya terpakai kepada pegawai kerajaan yang memenuhi kriteria tertentu.
Ciapan itu sebahagian daripada bebenang oleh Mahathir berkenaan kenyataan Macron susulan pembunuhan seorang guru di Perancis. Kenyataan itu turut disiar di blognya.
Ramai pengguna Twitter menyuarakan kebimbangan dan mengkritik ciapan ke-12 bebenang itu yang mengatakan "Muslim ada hak untuk marah dan membunuh berjuta rakyat Perancis atas penyembelihan di masa lalu."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan