HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Oktober 2020

UMNO belum umum nama untuk jawatan TPM .

Mohamad Athir Ismail

Sebaliknya, parti itu dalam satu kenyataan selepas mesyuarat yang berlangsung kira-kira empat jam itu mengulangi pendiriannya terhadap kestabilan politik.

UMNO juga dilihat meneruskan pendirian terhadap gencatan politik dan agenda Rekonsiliasi Nasional demi mendepani wabak Covid-19 menjaga kebajikan rakyat, keamanan negara dan kestabilan politik.

Selain itu, mesyuarat khas itu juga turut menyentuh beberapa perkara untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan dalam Dewan Rakyat Nanti.

Antaranya adalah perlanjutan moratorium pinjaman dan bayaran khas kepada petugas barisan hadapan yang bertugas dalam menangani wabak pandemik Koronavirus (Covid-19).

“UMNO memperhalusi pelbagai pandangan dan harapan rakyat mengenai Belanjawan 2021 untuk diangkat kepada kerajaan.

“Termasuklah isu perlanjutan tempoh moratorium, bantuan sara hidup kepada rakyat yang hilang punca pendapatan akibat Covid-19, bantuan kepada belia yang menganggur, bayaran khas kepada barisan hadapan dan beberapa inisiatif untuk meningkatkan pengembangan ekonomi negara.

“Lantaran itu, UMNO akan memastikan Belanjawan 2021 yang bermanfaat untuk rakyat dapat diluluskan.”

Demikian memetik kenyataan yang diserahkan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd. Somali Anwar, selepas mesyuarat khas MKT di Menara Dato’ Onn selesai.

Dalam pada itu, UMNO menjelaskan tetap menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Kenyataan sama itu turut menyebut, UMNO akan memastikan kestabilan pentadbiran negara dapat dijalankan dengan baik.

“Memastikan pentadbiran negara diurus dengan baik dan berpandukan keluhuran undang-undang seperti mana yang dititahkan oleh Seri Paduka Baginda.

“Menghormati semangat yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara dan tidak membawa negara ke dalam darurat sebagaimana yang telah dicadangkan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, UMNO akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana yang mempersoalkan pendiriannya demi menjaga kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kepentingan rakyat.

Walau bagaimanapun, UMNO turut menegaskan supaya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan bagi memastikan kerajaan yang stabil dapat diwujudkan.

“UMNO memutuskan agar mandat rakyat dikembalikan bagi mewujudkan kerajaan yang stabil setelah pandemik Covid-19 dapat dikawal dan berada di peringkat minimum,” tegasnya.

Terdahulu, Suara Merdeka melaporkan kemungkinan Mesyuarat Khas MKT UMNO pada malam ini membincangkan nama untuk dicalonkan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Nama-nama sebelum ini disebut-sebut termasuklah Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu, nama Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn turut disebut.

Bagaimanapun, pimpinan UMNO dikatakan tidak menyokong Ahmad Zahid dan Mohamad atau Tok Mat untuk menyertai Jemaah Menteri dengan jawatan tersebut.

Malah, Hishamuddin turut ditolak dengan dakwaan beliau rapat dengan Muhyiddin dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. – SM

Tiada ulasan: