PETALING JAYA: Tiga badan bukan kerajaan mengecam penahanan seorang Adun DAP atas dakwaan menghasut berhubung hantaran Facebooknya mengenai demonstrasi berlaku di Thailand, dengan menyatakan ia tidak masuk akal kerana dan tidak relevan dalam konteks Malaysia.
Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) menyuarakan keraguan terhadap penahanan Ronnie Liu berdasarkan hantaran dibuatnya mengenai situasi politik negara lain.
“Siasatan dilakukan terhadap Ronnie Liu tidak masuk akal dalam konteks undang-undang dan perundangan di Malaysia.
“Ia adalah keterlaluan bagi polis dan aduan awam untuk memperincikan hantaran itu dan menganggap ia boleh dilihat sebagai bantahan terhadap pemerintahan beraja di Malaysia,” kata 3 organisasi itu dalam kenyataan bersama.
Liu ditahan pagi tadi atas dakwaan hasutan selepas beliau tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk disoal siasat. Beliau dibebaskan dengan jaminan polis selepas itu.
Semalam, dilaporkan Liu ditahan berhubung hantaran di media sosial itu yang dikatakan berunsur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Hantaran di laman Facebooknya mengandungi gambar demonstrasi di Thailand dan dilampirkan keterangan “Kini di Bangkok. Mereka berkata tidak kepada Raja.”
Tetapi Suaram, Bersih 2.0 dan CIJ berkata, Akta Hasutan 1948 adalah domestik dan “tidak mengharamkan sebarang komentar atau kritikan terhadap kerajaan luar negara atau entiti lain.”
Justeru, mereka berkata polis mesti menjelaskan kepada masyarakat apakah konteks yang dipetik dalam akta itu dan digunakan untuk menahan Adun Sungai Pelek itu.
“Sekiranya gagal berbuat demikian, polis hanya boleh dianggap
bertindak sembarangan dan bercanggah dengan undang-undang Malaysia,”
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan