PETALING JAYA: Akar umbi PPBM memuji sikap kepimpinan Umno yang memuktamadkan kemelut politik apabila terus menyatakan sokongan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi PPBM Terengganu Razali Idris berkata, keterbukaan itu wajar dicontohi parti lain yang mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan berhenti membuat serangan sesama sendiri.
“Kita menyambut baik keputusan MKT Umno dengan menjunjung tinggi titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta tidak bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan.
“Saya menyeru semua pihak khususnya pemimpin politik terutama pendokong kerajaan PN merentasi segenap batas perbezaan untuk segera mendakap kesatuan perlu berhenti menyerang sesama sendiri seolah menebuk kapal dari dalam,” katanya kepada FMT.
Razali turut mengingatkan pembangkang supaya berhenti bermain politik dengan tidak mengganggu pentadbiran kerajaan selepas Umno, PAS dan parti rakan yang lain menyatakan sokongan kepada kerajaan hari ini serta menolak kerjasama dengan Anwar Ibrahim dan DAP.
“Pembangkang juga perlu berhenti berpolitik termasuk tidak mengganggu pentadbiran sekarang kononnya mereka mempunyai jumlah sokongan untuk membentuk kerajaan baharu yang tidak berkesudahan dan jika inginkan kerajaan mereka perlu tunggu sehingga PRU15,” katanya.
Turut senada Pengerusi PPBM Kelantan Kamaruddin Md Nor yang memaklumkan keputusan dibuat Umno diharap dapat menamatkan kemelut politik konon kerajaan akan bertukar.
“Agong sudah nasihat supaya kurangkan politiking, sebaliknya mewujudkan kestabilan politik untuk menangani Covid-19 serta kelembapan ekonomi negara dan rakyat.
“Ini bukan masanya untuk meneruskan kekalutan politik. Politik boleh tunggu masanya, lebih utama menjaga rakyat, inilah yang kerajaan pimpinan Muhyiddin sedang lakukan,” katanya.
Kamaruddin turut mengingatkan parti komponen PN dan sekutunya berhenti membuat tuntutan politik secara terbuka sebaliknya ia perlu dilakukan mengikut saluran yang betul secara dalaman.
Majlis Kerja Tertinggi Umno pada Isnin membuat keputusan terus menyokong kerajaan PN dengan menggesa prinsip kerjasama berpaksikan nilai penghormatan dan konsensus politik ditambah baik.
Parti itu juga menyarankan inisiatif rekonsilasi nasional atau agenda perdamaian nasional segera dilaksanakan dengan menggembleng penyertaan semua parti politik yang bernaung bawah kerajaan PN dan juga parti pembangkang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan