HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Oktober 2020

Orang kawasan marah dengan saya – Annuar

Kasthuri Jeevendran
MGF29102020_ANNUAR-MUSA-SUMBANGAN-CAKNA02-2
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa (dua kanan) beramah mesra dengan sebahagian wakil penduduk yang menerima bantuan pada Majlis Sumbangan Wilayah Cakna di Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Ketereh merangkap Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mendedahkan ada dalam kalangan pengundi di kawasan itu tidak gembira dan marah kepadanya sejak akhir-akhir ini.

Dedah Annuar Musa, ada segelintir pengundi menghubungi beliau apabila ada dalam kalangan keluarga seperti anak dan saudara yang bekerja dengan kerajaan diarah untuk bertugas di lokasi ‘panas’ pandemik Covid-19.

Antaranya ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 September lepas.

“Ada orang kawasan saya di Kelantan menghubungi saya, melobi kepada saya minta anaknya dikecualikan daripada bertugas di Sabah. Minta tolong sampai merayu-rayu.

“Tapi cerita sebenarnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terpaksa mengerah semua yang ada di Semenanjung kerana yang ada di Sabah sudah tidak cukup. Bila ada arahan mahu bawa petugas dari sini ke Sabah, orang tidak mahu.

“Saya kena marah dengan orang kawasan saya kerana tidak dapat buat apa yang mereka minta, tidak dapat puaskan hati mereka. Saya beritahu mereka itu bukan bidang kuasa saya, itu adalah satu arahan tugas. Mereka marah.

“Saya minta mereka bersabar, Saya minta mereka doa banyak-banyak, saya kena marah,” katanya sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika menjelaskan tentang isu darurat yang menjadi topik hangat sehingga mendatangkan rasa tidak senang dalam kalangan rakyat sejak minggu lepas.

Bagaimanapun kata Annuar, darurat kesihatan atau pandemik sebenarnya tidak sama seperti darurat pertumpahan darah dan keselamatan seperti yang ditakuti oleh segelintir.

Sebaliknya darurat kesihatan ini akan memberikan kuasa untuk Yang di-Pertuan Agong bertindak menggunakan ordinan tertentu

“Perkataan darurat ini telah membawa kepada kekeliruan cukup besar. Saya beri contoh seperti PRK Batu Sapi, kita ada undang-undang yang perlu kita patuhi, laksanakan dalam tempoh 60 lepas dikosongkan.

“Jika adanya darurat kesihatan, Agong boleh bertindak menangguhkan terlebih dahulu. Ada banyak contoh lain juga, jika saya cuba jelaskan, ramai juga yang marah.

“Tapi kini kita akur sahaja dengan keputusan yang telah dicapai, kita ke depan dan fokus apa yang perlu dilakukan ketika situasi ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: