HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Oktober 2020

Adun kecewa pendaftaran Pejuang belum selesai, syak ada ‘pilih kasih’


PETALING JAYA:
Adun Jeram Mohd Shaid Rosli kecewa berhubung maklum balas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) terhadap permohonan pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang belum diselesaikan dan mengesyaki ada unsur “pilih kasih” dalam perkara itu.

Beliau juga terkejut selepas hampir 3 bulan permohonan, pendaftaran Pejuang masih belum diselesaikan sepenuhnya berdasarkan semakan dalam sistem eROSES.

“Saya tidak dapat bersetuju sepenuhnya dengan alasan JPPM, yang mendakwa Jawatankuasa Penaja Pejuang tidak melakukan semakan pada setiap permohonan dikemukakan terutama dokumentasi penting seperti perlembagaan parti.

“Setiap hari saya mengikuti perkembangan permohonan Pejuang ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, JPPM memaklumkan permohonan pendaftaran Pejuang belum dapat diselesaikan kerana masih dalam penilitian dan semakan.

JPPM berkata, berdasarkan rekod jabatan hingga 29 Oktober, permohonan Pejuang belum diselesaikan sepenuhnya dan masih berada dalam sistem eROSES.

Dalam pada itu, Shaid berkata sebagai Adun bebas, beliau menunggu kelulusan Pejuang bagi membolehkannya menyertai parti itu.

Beliau berharap perkara itu dapat diselesaikan secara berhemah dan profesional tanpa menjadi “alat kerajaan” yang bermotifkan politik.

“Saya juga merasakan wujud unsur ‘pilih kasih’ ekoran pendaftaran Perikatan Nasional (PN) yang diluluskan oleh jabatan itu dengan segera dalam proses yang amat meragukan.

“Saya juga meminta Menteri Dalam Negeri (Hamzah Zainudin) lebih profesional dalam menjalankan tugas. Beliau perlu menyelesaikan masalah bawah kementerian beliau bagi menjaga integriti kementerian itu sendiri,” katanya.

#Sumber : FMT 

Tiada ulasan: