HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Oktober 2020

Kemelut jawatan TPM terus belenggu UMNO

MGF09032020_PM-JUMPA-AGONG-SENARAI-KABINET11-1
Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Belum pun reda isu penolakan cadangan pelaksanaan darurat kesihatan oleh Majlis Raja-Raja, kini timbul pula kemelut pemilihan pemimpin UMNO untuk mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Tawaran kepada UMNO itu sebagai timbal balas kepada sokongan parti itu terhadap Rang Undang-Undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 dan kestabilan politik.

Ketika ini, tiga pemimpin UMNO disebut-sebut dalam pertimbangan Muhyiddin iaitu Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Bagaimanapun menurut sumber MalaysiaGazette, Muhyiddin cuba melangkaui kuasa Majlis Tertinggi UMNO apabila didakwa menamakan Hishammuddin sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Muhyiddin mungkin sudah lupa beliau bukan lagi Timbalan Presiden UMNO yang kini dilihat cuba membuat percaturan sendiri bagi memastikan kedudukann nombor dua itu boleh memberi talian hayat jika kedudukannya terjejas.

Umum maklum walaupun Hishammuddin merupakan seorang pemimpin berpengalaman dan berkeupayaan, namun Muhyiddin buat-buat lupa kredibiliti Menteri Luar Negeri itu di mata pemimpin dan akar umbi UMNO sudah hancur.

Ia susulan tindakan Hishammuddin sebelum ini dikatakan bersama-sama bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk mengumpulkan 22 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di kediaman rasminya di Putrajaya, 18 November 2019.

Tindakan Muhyiddin yang menamakan Hishammuddin itu juga menguatkan lagi dakwaan kononnya sejak dari awal lagi beliau menolak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri itu.

Ia sekali gus menguatkan dakwaan bahawa Muhyiddin masih menyimpan dendam lama terhadap kepimpinan UMNO yang menyingkirkannya dari Kabinet BN ketika jawatan Perdana Menteri ketika itu digalas oleh Datuk Seri Najib Razak.

Langkah Muhyiddin sendiri akan mengeruhkan hubungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan UMNO dan menjejaskan kestabilan Kerajaan Perikatan Nasional (PN), lebih-lebih lagi selepas cadangan pelaksanaan darurat kesihatan ditolak mentah-mentah oleh Majlis Raja-Raja, Ahad lepas.

Dimaklumkan, Muhyiddin diminta menunggu keputusan MT UMNO dan bukannya terburu-buru menamakan Hishammuddin jika tidak mahu dimalukan dalam sidang Parimen, November ini.

Usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri itu menjadi ancaman terbesar, bukan sahaja dibawa oleh pembangkang iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, bahkan turut difailkan sendiri oleh Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaliegh Tengku Hamzah.

Sumber turut mengingatkan Muhyiddin agar tidak mendahului keputusan UMNO dan usah mencampuri kepimpinan parti Melayu itu jika tidak mahu melihat Kerajaan PN terus runtuh sebelum Belanjawan Negara 2021. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: