HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Oktober 2020

SPR akan keluarkan SOP baharu pilihan raya dalam masa terdekat

MGF13102020_SIDANG-MEDIA-SPR_11
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh menunjukan peta kawasan Parlimen P.185 Batu Sapi pada sidang media Urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.185 Batu Sapi di Bangunan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Putrajaya. foto ISKANDAR HAMIDI,

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menampilkan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu berkaitan pilihan raya dalam masa terdekat selaras dengan peningkatan kes COVID-19 dalam negara sejak kebelakangan ini.

Pengerusinya Datuk Abdul Ghani Salleh berkata SOP itu turut akan mengambil kira tiga syor yang dikemukakan Kementerian Kesihatan, yakni tidak boleh merentas negeri; sempadan negeri atau daerah, tiada perhimpunan ramai bagi melaksanakan kempen; dan tiada lawatan dari rumah ke rumah.

“Kita sudah ada SOP yang baharu, nanti akan dimaklumkan. Pandangan yang baik juga kita akan timbang untuk diterima,” katanya kepada Bernama TV ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdul Ghani berkata terdapat beberapa penambahan baharu yang lebih ketat, yang akan dijelaskan nanti seperti kempen melalui media sosial.

Bagaimanapun, SOP sedia ada masih diguna pakai selaras dengan Garis Panduan Pencegahan Covid-19 Bagi Pelaksanaan Pilihan Raya yang telah disediakan SPR.

Sebelum ini, SPR menetapkan beberapa garis panduan terbaru bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi yang akan diadakan pada 5 Dis ini.

Antaranya ialah tiada lagi kempen secara bersemuka; dan ziarah calon atau penyokong parti ke rumah-rumah serta tinjauan mesra tidak lagi dibenarkan.

Malah bagi penambahbaikan aktiviti berkempen, SPR mencadangkan calon atau parti hanya dibenarkan membuka satu bilik gerakan sahaja.

Semalam, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mencadangkan sebarang pilihan raya tidak diadakan pada masa ini.

Bagaimanapun, memandangkan tiada kuasa yang boleh menghalang pilihan raya untuk dibatalkan, beliau mengesyorkan tiga prinsip diikuti sepenuhnya sebagai syarat sebelum sesuatu pilihan raya itu diadakan.— BERNAMA

Tiada ulasan: