HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Oktober 2020

Hina raja, usah biar menular


KUALA LUMPUR
: Polis telah menyiasat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek Ronnie Liu Tian yang memuat naik status di laman sosial yang didakwa mempunyai kecenderungan berbaur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad, tindakan yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat Liu memberikan satu pengajaran dan iktibar kepada orang ramai.

“Kita tidak mahu trend ini akan menjadi satu budaya di dalam masyarakat,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Selain menyentuh isu tentang penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, kata Ustaz Idris banyak lagi isu berbangkit yang dilontarkan dalam platform media sosial yang dijadikan medium untuk menzahirkan fitnah dan hasutan.

“Kita harapkan PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan yang segera kerana budaya ini dilihat semakin rancak berlaku.

“Kita bimbang ianya akan menimbulkan ketidaktenteraman kepada negara suatu masa nanti,” ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau berharap supaya pihak bertanggungjawab dan pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Kita harap apa yang berlaku dibawa ke muka pengadilan untuk dibicarakan berkenaan dengan kenyataan Ronnie Liu ini,” katanya.

Pada 28 Oktober lalu, Adun Sungai Pelek Ronnie Liu Tian telah disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung tindakannya memuat naik status di media sosial yang didakwa mempunyai kecenderungan untuk menghasut terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun Liu dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama setelah diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Selain Liu, beberapa lagi individu turut disiasat berhubung penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong menerusi media sosial.

Liu dilaporkan memuat naik status Facebook: “Now in Bangkok. They Are Saying No to the King” sebelum bertindak memadam status itu. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: