HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Oktober 2020

Tuduh rakyat salah pilih: Cermin diri dulu Zahidi, kata Syed Ibrahim

Malaysia Dateline

 Syed Ibrahim Syed Ahmad 

Syed Ibrahim Syed Noh

Zahidi seharusnya mengambil peluang untuk mencerminkan dirinya sendiri, sama ada beliau sebagai Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia sudah memperbetulkan keadaan.

(Malaysia Dateline) – Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh menyelar Datuk Zahidi Zainul Abidin sebagai tidak bertanggungjawab dan mengeluarkan kenyataan memalukan apabila cuba menyalahkan rakyat sebagai punca kepada ketidakstabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini.

Pengerusi PKR Johor itu berkata, Zahidi seharusnya mengambil peluang untuk mencerminkan dirinya sendiri, sama ada beliau sebagai Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia sudah memperbetulkan keadaan.

“Saya menyarankan agar Datuk Zahidi mengambil peluang untuk mencermin diri, adakah beliau sendiri sudah memperbetulkan keadaan?

“Dengan pelbagai kenyataan, peristiwa dan usaha yang acuh tidak acuh sebagai Timbalan Menteri KMM, adakah beliau berhak untuk meletakkan keadaan sekarang ke atas pundak bahu rakyat?

“Saya yakin rakyat tidak lupa gelagat Datuk Zahidi dalam berhadapan dengan isu Veveonah Mosibin,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline.

Semalam, Zahidi yang juga ahli Parlimen Padang Besar mendakwa keputusan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu menyebabkan kerajaan tidak mempunyai jumlah majoriti kerusi Parlimen.

Beliau menyebut bahawa keadaan “politik 50-50” menyebabkan pelabur tidak datang melabur sehingga ekonomi negara tidak baik kerana rakyat yang turun mengundi sewaktu PRU-14.

Wakil rakyat Umno itu juga mengulangi tudingan jari kepada rakyat dan berkata akibat keputusan itu, orang politik terpaksa tampil untuk perbetulkan keadaan.

Sementara itu, Syed Ibrahim membangkitkan isu capaian internet yang lemah di kawasan-kawasan luar bandar sehingga membawa kepada permasalahan lain.

Menurutnya, rakyat semakin peka dengan kelemahan kerajaan menguruskan isu capaian internet selain isu berita-berita palsu yang tersebar, termasuk fenomena penipuan atas talian yang semakin membimbangkan.

Justeru beliau mempersoalkan adakah Zahidi mahu meletakkan punca masalah-masalah tersebut kepada rakyat.

“Cukuplah menyalahkan rakyat Yang Berhormat Timbalan Menteri. Rakyat melaksanakan amanah membuang undi untuk mengangkat demokrasi adalah tidak salah.

“Kerajaan yang hanya bermain politik, tidak serius mengambil berat isu terkait rakyat dan meletakkan kesalahan pada pihak lain inilah yang bersalah dan tidak bertanggungjawab,” katanya lagi.

Tiada ulasan: