Antara intipati kenyataan dari Presiden UMNO setelah Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi semalam adalah berkenaan kebarangkalian kita menghadapi PRU15 setelah penularan Covid-19 berada di tahap minimum.
Buat masa sekarang dan baki 2020 ini, UMNO sedar rakyat tidak mahu PRU tergesa-gesa, SPB YDPA telah menggambarkan dalam titah Baginda bahawa ketegangan politik perlu dikendurkan dalam pada negara menghadapi gelombang ketiga Covid.
Tetapi setelah ancaman Covid diredakan, dan andaikata situasi politik masih tidak stabil dengan majoriti yang terlalu tipis, maka mengembalikan mandat kepada rakyat wajar menjadi pilihan yang dipertimbang.
Cuma, kita tidak boleh hanya memberi gesaan tersebut tanpa memikirkan kaedah bagaimana boleh menjalankan pilihanraya dengan selamat, mengambil iktibar dari pengalaman kita di Sabah tempoh hari.
Antara perkara yang wajar diperhalusi oleh SPR dan pihak Kerajaan:
1. SOP yang jelas, ketat dan memberi keyakinan kepada rakyat dan petugas parti.
SOP perlu jelas dan tidak berubah-ubah dalam tempoh kempen. Contohnya, tentukan sahaja bahawa tiada ceramah dan rapat umum dibenarkan.
Elakkan tafsiran masing-masing berkenaan jumlah orang dibenarkan hadir yang mungkin berbeza dan akhirnya mengundang masalah. Acap kali kita melihat mungkin kawasan ceramah itu ada penjarakan (itupun tak semua) tetapi yang berhimpun di luar dewan atau khemah pula terlalu ramai dan sukar dikawal.
Contoh lain, jika ziarah rumah tidak dibenarkan, sebut sahaja tidak dibenarkan – lantas mengelak terus syarat 3 orang, 4 orang dan sebagainya yang memang sukar dipantau. Mana mungkin pemantau mengikuti lawatan ke setiap rumah di setiap kawasan.
Apapun prosedur yang diputuskan, penguatkuasaan SOP ini juga mesti adil, saksama tanpa kira darjat atau parti. Pegawai penguatkuasa juga mesti dipastikan memadai.
2. Perluas undi pos
Hak mengundi melalui undi pos wajar diperluas kepada seberapa ramai orang yang mampu, terutamanya pengundi luar kawasan dan pengundi berumur seperti warga emas yang menghadapi risiko lebih tinggi dari sebarang jangkitan Covid.
Tiada sebab mengapa perkara ini tidak boleh dilaksanakan jika ada kemahuan politik. Di Amerika Syarikat sendiri sudah lebih 80 juta pengundi yang telahpun mengundi dalam pemilihan Presiden mereka, dan ramai di kalangan itu adalah undi pos. Mengapa tidak Malaysia?
Jika ada peraturan atau undang-undang yang perlu dipinda sejajar normal baharu, pinda-lah. Jika perlu lebih banyak sumber dan bantuan mengurus undi pos, persiapkan-lah. Jika bajet yang akan diperlukan SPR atau pihak polis jauh lebih tinggi, bentangkan dalam Belanjawan 2021.
3. Tambah saluran dan tempoh mengundi
Barangkali masih ada yang mahu mengundi secara manual. Ini hak pengundi tetapi perubahan prosedur wajar dilaksanakan bagi mengelak kesesakan di tempat mengundi.
Sama ada menambah peti undi, saluran, atau jumlah hari mengundi (yakni undi awal dibenarkan sehingga hari akhir) – segalanya perlu dipertimbang agar keselamatan pengundi dan pegawai petugas pilihanraya terjaga.
TANGGUNGJAWAB AHLI POLITIK
Tanggungjawab melaksanakan sebarang pilihanraya dengan selamat bukan hanya terletak atas bahu SPR atau Kerajaan. Pengamal politik juga ada peranan. Ada yang masih berkeras bahawa ahli politik tidak bersalah atas gelombang Covid-19 ekoran PRN Sabah.
Tetapi sebagai seorang yang telah pun dijangkiti Covid dan menginsafi pengalaman kempen yang saya sendiri terbabit, bagi saya tak perlu nafikan bahawa wujud kekurangan dari pihak parti-parti politik termasuk UMNO sendiri yang menyumbang kepada apa yang berlaku sekarang.
Ya, mungkin ada faktor lain membawa kepada gelombang ketiga, tetapi pengamal politik wajar mengakui dan menginsafi bahawa kami juga ada tanggungjawab atas apa yang telah berlaku. Sebelum menyalahkan orang lain, eloklah melihat diri kita sendiri terlebih dahulu.
Maka, disamping pengamal politik bercakap tentang kemungkinan PRU, kami juga wajar muhasabah untuk belajar dari kesilapan baru-baru ini. Jika SOP telah ditetapkan nanti, pakat-pakat ikutlah. Kami wajar mengelak nafsu melihat sesuatu melalui lensa yang menguntungkan politik semata-mata melebihi kebertangunggjawaban sosial sesuai dengan aspirasi menjadi pemimpin.
Sama ada PRU ini awal atau tidak, bergantung kepada situasi dan akhirnya ketentuan Allah swt. Sekali lagi, ini bukan perkara utama sekarang – yang penting, Covid, ekonomi dan Belanjawan. Tetapi tiada ruginya Malaysia membuat persediaan awal supaya kita ada ruang pilihan yang luas jika perlu digunakan.
( * ) SHAHRIL HAMDAN - KETUA PENERANGAN UMNO MALAYSIA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan