HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Oktober 2020

Nik Abduh yakin ahli Umno, Pas buang pemimpin yang rosakkan MN .


Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yakin seluruh ahli dan penyokong partinya dan Umno akan segera membuang mana-mana pemimpin yang cuba merosakkan Muafakat Nasional (MN).

Ahli Parlimen Bachok itu percaya seluruh pemimpin Umno dan Pas menjunjung MN yang “diikat kukuh dengan nama Allah”.

Walau bagaimanapun, dia mengingatkan kekeliruan yang berlaku tidak boleh menjadi punca dan alasan kepada kepanasan, kemarahan dan kebencian.

“Ia adalah ujian daripada Allah yang bertujuan menguji kekuatan dan kesabaran para hamba-Nya yang dirahmati.

“Tumpu kepada penyatuan, pemurnian dan kesepakatan. Hindari wasangka dan keraguan sesama sendiri. Kenali tipu daya musuh,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Hari ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan menyatakan kesemua 18 Ahli Parlimen parti itu menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Muhyiddin.

Beliau turut menyeru seluruh Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk terus istiqamah mempertahankan kepemimpinan Perdana Menteri dan kerajaan PN.

Mengulas lanjut, Nik Abduh menegaskan pentingnya MN dipertahankan kerana PN tidak wujud tanpa MN.

“Negara kita perlukan Muafakat Nasional demi kesejahteraan bersama. Tanpanya, tiadalah Perikatan Nasional (PN),” tegasnya lagi.

MN merupakan kerjasama politik Umno dan Pas yang secara rasmi memeterai piagam bersama pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), 14 September tahun lalu.

Dari segi penguasaan Dewan Rakyat pada masa ini, Pas hanya mempunyai 18 kerusi berbanding Umno yang menguasai 39 kerusi Parlimen.

MR :  Rakyat tak suka politik 'klu klik'

Tiada ulasan: