HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Oktober 2020

Pendirian UMNO dahulukan kepentingan rakyat

  Mohamad Athir Ismail  

UMNO berpendirian mengakhiri kemelut politik dan perebutan kuasa yang timbul selepas Perintah Darurat tidak dapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Parti terbesar negara itu terus memainkan peranan untuk mengutamakan kepentingan rakyat dengan meneruskan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Langkah yang diambil itu juga dilihat selaras dengan titah Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah pada Ahad lalu yang mahukan isu politik dihentikan segara.

Malah, pendirian UMNO itu juga dilihat kali kedua dizahirkan, kali pertama adalah ketika kemelut politik timbul pada Februari lalu selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Apabila Tun M (Dr. Mahathir) letak jawatan dan negara tidak mahu ke kancah PRU (Pilihan Raya Umum), UMNO datang sebagai penyelamat. 

“Apabila cadangan Kerajaan PN ditolak oleh Majlis Raja-Raja, tidak pernah terjadi dalam sejarah cadangan Darurat ditolak, bilamana kerajaan berada di hujung tanduk.

“UMNO mengambil ketetapan untuk terus bersama mendahulukan kepentingan rakyat.”

Kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd. Razlan Rafii menerusi satu kenyataan yang diterbitkan malam tadi dalam Facebooknya.

Beliau berkata demikian selepas UMNO menyatakan pendiriannya menerusi Mesyuarat Majlis MKT yang berlangsung di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur malam tadi.

Dalam mesyuarat tersebut UMNO memutuskan beberapa perkara termasuklah Agenda Perdamaian Nasional yang menggembleng penyertaan semua parti Politik.

UMNO juga berpendirian untuk terus menyokong PN bagi memastikan krisis pandemik Koronavirus (Covid-19) dapat diselesaikan serta kebajikan rakyat dan kestabilan negara dipastikan.

Walau bagaimanapun, UMNO kekal untuk tidak bekerjasama dengan PKR dan juga DAP.

Justeru, Mohd. Razlan menjelaskan, tindakan UMNO sebagai matang demi menjaga kepentingan negara merangkumi rakyat, kesihatan, ekonomi serta Raja-Raja Melayu.

“UMNO bertindak matang menjaga kepentingan Raja-Raja Melayu dan keselamatan, kesihatan serta ekonomi dengan kolektif mengekalkan sokongan kepada Kerajaan PN.

“Inilah parti keramat, bercelaru permainan politik macam mana pun, sekira datang persimpangan, UMNO akan terus mendahulukan kepentingan rakyat,” ujarnya. – SM

Tiada ulasan: