PKR
masih belum dapat menyerahkan writ saman RM10 juta kepada bekas naib
presidennya Zuraida Kamaruddin yang didakwa melanggar syarat bon yang
mengikatnya kepada parti.
Menurut peguam utama PKR William Leong,
mahkamah dimaklumkan plaintif tidak dapat menyampaikan writ saman itu di
kedua-dua alamat kediaman dan pejabat Zuraida.
“Pengurusan kes
selanjutnya ditetapkan pada 16 Nov ini,” kata Leong menerusi aplikasi
WhatsApp selepas prosiding pengurusan kes itu di hadapan Penolong
Pendaftar Mahkamah Tinggi Nor Afidah Idris yang dijalankan menerusi
e-review (dalam talian) hari ini.
Leong berkata plaintif telah
menghantar pemakluman menerusi pos berdaftar kepada Zuraida memintanya
melantik peguam untuk menerima writ saman tersebut bagi pihaknya.
“Kami
dalam proses membuat janji temu untuk dia menerima saman berkenaan.
Pengurusan kes akan datang adalah untuk memaklumkan perkembangan terkini
kepada mahkamah berhubung kes ini serta mendapatkan arahan
selanjutnya,” kata Leong.
Saman itu difailkan oleh Setiausaha
Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail bagi pihak parti pada 2 Okt lalu,
mendakwa Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan
telah menandatangani suatu bon pada 25 April 2018 yang mengikatnya untuk
membayar RM10 juta kepada parti seperti yang dinyatakan dalam syarat
dan terma bon itu.
PKR mendakwa Zuraida telah bersetuju untuk
membayar sejumlah RM10 juta dalam tempoh selewat-lewatnya tujuh hari
sekiranya berlaku beberapa perkara, termasuk dia keluar parti atau
menyertai parti politik lain atau menjadi wakil rakyat Bebas selepas
menang pilihan raya atas tiket PKR.
Parti itu juga mendakwa pada
24 Feb, Zuraida dalam kenyataan bersama-sama 10 lagi ahli Parlimen PKR,
mengumumkan keluar parti tanpa melepaskan kedudukan sebagai Ahli
Parlimen Ampang, dan seterusnya membentuk blok baru dikenali sebagai
Perikatan Nasional (PN) dengan parti pembangkang lain termasuk Barisan
Nasional, PAS dan Gabungan Parti Sarawak.
PKR berkata kerajaan persekutuan yang diterajui PH kemudian ditumbangkan oleh PN dan defendan dilantik sebagai menteri.
Pada
tarikh sama, PKR mendakwa Majlis Pimpinan Pusat parti meluluskan
resolusi untuk memecat Zuraida daripada parti berkuat kuasa serta-merta
dan mengeluarkan sijil bertarikh 24 Julai yang mengesahkan penamatan
keahliannya.
Pada 7 Ogos, PKR mendakwa ia, menerusi peguam parti,
telah mengeluarkan surat tuntutan meminta Zuraida membayar RM10 juta
selaras dengan terma bon, namun parti mendakwa defendan gagal/enggan
membayar jumlah itu, secara keseluruhan mahupun sebahagian.
Plaintif
juga mendakwa ia berhak menuntut RM10 juta daripada defendan kerana dia
meletak jawatan sebagai ahli parti namun tidak sebagai Ahli Parlimen
Ampang, iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket parti, menggunakan
logo, lambang, bendera, perkhidmatan dan sokongan parti, yang mana
menyebabkan parti kehilangan manfaat dan kelebihan mempunyai ahli
Parlimen di Dewan Rakyat dan menjadi sebahagian daripada kuasa
eksekutif.
Plaintif berkata ia bersandar pada Seksyen 71 Akta
Kontrak 1950 yang memberikannya hak untuk mendapatkan semula ganjaran
dan faedah berjumlah RM2,049,459.20 yang dinikmati oleh defendan selepas
dipilih sebagai calon parti pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan menjadi
Ahli Parlimen Ampang.
Sehubungan itu, plaintif memohon sejumlah
RM12,049,459.20 menurut Seksyen 71 Akta Kontrak, merangkumi RM10 juta di
bawah bon dan RM2,049,459.20 bagi ganjaran dan faedah yang diterima
defendan selaku ahli Parlimen serta Menteri Perumahan dan Kerajaan
Tempatan di bawah kerajaan PH dengan kadar faedah lima peratus setahun
serta kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan