KUALA LUMPUR- Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussien menafikan beliau menjalankan usaha untuk diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri seperti yang tersebar baru-baru ini.
Jelasnya, soal jawatan tidak menjadi agenda kerana fokus utama kerajaan dan UMNO ketika ini adalah sidang Parlimen, pembentangan Belanjawan 2021 dan pengurusan krisis Covid-19.
“Merujuk artikel Sin Chew Daily yang mengaitkan saya sebagai salah seorang calon Timbalan Perdana Menteri sekaligus mengundang pelbagai persoalan dan reaksi – saya ingin menyatakan bahawa saya tidak pernah mengadakan usaha ke arah perkara tersebut.
“Malah saya berterima kasih kepada parti kerana menyokong saya mewakili UMNO sebagai Menteri dalam Kerajaan hari ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Artikel berkaitan: TPM: Tak perlu kalut sampai menekan PM
Tegasnya, pendirian beliau itu adalah selari dengan kenyataan media Presiden UMNO dan keputusan Majlis Tertinggi iaitu menyahut seruan Yang di-Pertuan Agong supaya semua pihak berhenti bermain politik.
“Apa jua pendirian dan keputusan adalah demi kepentingan parti – dulu, kini dan selamanya,” katanya lagi.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan