HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Oktober 2020

UMANY biadap persoal kuasa YDPA – Kamarul Zaman

Wartawan MalaysiaGazette
MGF11042017_IKSIM02
Dr Kamarul Zaman Yusof

KUALA LUMPUR – Kenyataan University of Malaya Association of New Youth (UMANY) yang mendesak Yang Dipertuan Agong (YDPA) supaya tidak campur tangan dalam urusan negara semalam mendapat kritikan hebat.

Majoriti netizen mengutuk UMANY kerana cuba mempersoalkan institusi raja di negara ini.

Bagaimanapun hari ini hantaran UMANY di Facebook itu telah dipadamkan.

Penganalisis politik Dr. Kamarul Zaman Yusoff menyifatkan pertubuhan pelajar Cina di UM itu sebagai biadap.

Sebelum ini, katanya, UMANY didakwa menjuarai desakan supaya Naib Canselor UM, Datuk Ir. Abdul Rahim Hashim, meletakkan jawatan kerana terlibat dengan Kongres Maruah Melayu.

“Kini ia secara terbuka pula mendesak YDPA supaya jangan campur tangan dalam urusan-urusan negara.

“Bagaimana YDPA boleh tidak campur tangan dalam urusan-urusan negara bila menjadi kewajipan dan sumpah baginda untuk “menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia”?” soalnya dalam satu kenyataan awal pagi tadi.

Soal Kamarul Zaman, bagaimana YDPA tidak campur tangan dalam urusan-urusan negara bila Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada YDPA?

“Bagaimana YDPA boleh tidak campur tangan dalam urusan-urusan negara bila Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa ‘kuasa perundangan Persekutuan hendaklah terletak hak pada Parlimen yang hendaklah terdiri daripada YDPA dan dua Majlis Parlimen?” soalnya lagi.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: