HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Oktober 2020

Menteri UMNO kekal dalam PN, syor PRU selepas Covid-19 terkawal

Oleh MOHD FADHLI MOHD SULAIMAN
 
AHMAD ZAHID HAMIDI

KUALA LUMPUR: Semua anggota Kabinet mewakili UMNO kekal dalam Perikatan Nasional (PN) dan beriltizam terus menjaga kebajikan rakyat serta mempertahankan maruah parti.

Parti itu juga mencadangkan agar Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan selepas keadaan Covid-19 selesai atau berada pada peringkat minimum.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-raja Melayu untuk terus memastikan pentadbiran negara diurus dengan baik berpandukan keluhuran undang-undang dan menghormati semangat yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak membawa negara ke dalam darurat.

“Mana-mana pihak yang mempersoalkan keputusan UMNO dalam mendukung titah Seri Paduka dan Majlis Raja-raja Melayu adalah tidak bertanggungjawab dan amat dikesali.

“Sekiranya pendirian UMNO dalam perkara ini masih dipersoalkan, UMNO tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas demi menjaga kedaulatan Raja-Raja dan kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan selepas majlis Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur di sini malam ini.

Terdahulu, ketika ditanya siapa individu yang bakal dicalonkan memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, kesemua pemimpin UMNO mengambil langkah berdiam diri dan bergegas keluar dari PWTC.

Jawatan Timbalan Perdana Menteri antara yang disuarakan pemimpin Umno sebagai syarat bagi parti itu untuk terus menyokong kerajaan PN dan menolak kerjasama dengan PKR dan DAP, walaupun sebelum ini UMNO pernah menyatakan pertimbangan untuk menarik diri dari gabungan itu.

Terdahulu, Muhyiddin dikatakan sedang menunggu UMNO mencalonkan pemimpin parti itu yang dianggap boleh diterima untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Bagaimanapun, difahamkan, Muhyiddin tidak dapat menerima Ahmad Zahid sebagai timbalannya kerana beliau masih dibicarakan di mahkamah.

Spekulasi itu secara tidak langsung menaikkan beberapa pemimpin lain untuk dicalonkan bagi jawatan itu iaitu Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Annuar Musa.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, partinya akan memperhalusi pelbagai pandangan dan harapan rakyat mengenai Belanjawan 2021 untuk diangkat kerajaan termasuk isu perlanjutan tempoh moratorium dan bantuan sara hidup kepada rakyat yang hilang punca pendapatan akibat wabak Covid-19.

“Selain itu, UMNO akan memperhalusi bantuan kepada belia yang menganggur, bayaran khas kepada barisan hadapan dan beberapa inisiatif untuk meningkatkan perkembangan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan: