HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Oktober 2020

Hanya kerajaan perpaduan jamin kesejahteraan rakyat, kata bekas pimpinan PPBM

PETALING JAYA: Bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PPBM, Tariq Ismail Mustafa berkata hanya kerajaan perpaduan dapat menjamin kesejahteraan rakyat.

Beliau yang kini menyertai Pejuang di bawah pimpinan bekas pengerusi PPBM, Dr Mahathir Mohamad berkata, pentadbiran negara yang seimbang amat diperlukan.

“Hanya mereka yang layak memegang jawatan secara profesional dapat memimpin negara. Tidak kira haluan politik mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahathir sebelum ini mencadangkan penubuhan sebuah kerajaan perpaduan bagi menyelesaikan kemelut politik ketika beliau menggalas jawatan perdana menteri sementara selepas meletakkan jawatannya pada Februari.

Terdahulu Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengingatkan semua ahli politik supaya berhenti bermain politik yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

Tariq bersetuju semua pihak harus mengetepikan pertelingkahan politik dan memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat.

Beliau mengingatkan ahli Parlimen bahawa tugas utama mereka ialah berkhidmat untuk rakyat.

“Namun begitu, dalam menurut perintah Agong agar ahli Parlimen supaya memberi sokongan padu kepada Belanjawan kerajaan, ia tidak pula bermakna menerima usul tanpa periksa, tanpa perbahasan dan secara membabi buta.

“Demi melaksanakan amanah rakyat dalam perbelanjaan kerajaan, setiap butiran harus diteliti agar ia disalurkan untuk menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya.

Katanya, sikap pemimpin Perikatan Nasional (PN), Umno dan Muafakat Nasional (MN) “bermain wayang” bagi mengelakkan perbahasan Belanjawan 2021 memberi gambaran yang berlawanan.

“Mungkinkah mereka takut berdepan perbahasan kerana Belanjawan bukan hanya untuk kebajikan rakyat, tetapi, seperti biasa untuk kebajikan politik.

“Atau mungkinkah mereka takut kerana Laporan Ekonomi dan Belanjawan [yang akandibentangkan] menunjukkan betapa mereka cuba mengaburi mata rakyat tentang keadaan sebenar ekonomi,” katanya.

Tariq berkata, perbelanjaan kritikal bagi sektor kesihatan awam dan infrastruktur ekonomi sangat perlu dalam keadaan ekonomi yang lemah padamasa ini.

Katanya, perbahasan di Dewan Rakyat pada persidangan November ini adalah perlu bagi memastikan sektor kritikal diberi keutamaan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) harus diberi keutamaan bagi usaha mendapatkan vaksin dan ubat-ubatan bagi memerangi wabak Covid-19.

“Sekiranya perbelanjaan disalurkan kepada mana-mana kementerian lain yang tiada kaitan dengan perubatan atau farmasi dan bidang kesihatan, sudah tidak sangsi lagi, terdapat elemen penyaluran dana bagi tujuan politik sedang berlaku.

Tiada ulasan: