HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Oktober 2020

Guna undi belanjawan untuk dapat reformasi, Wong Chen beritahu pembangkang .

Wong Chen berkata, pembangkang perlu menggunakan undian Belanjawan 2021 untuk 
mendapatkan ‘reformasi sangat diperlukan bagi menyelamatkan demokrasi’.

PETALING JAYA: Seorang ahli Parlimen PKR menggesa pembangkang mempertimbang menggunakan undian Belanjawan 2021 sebagai “kelebihan” untuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) melaksanakan reformasi.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, undian belanjawan pembangkang ialah satu-satunya “senjata khas” mereka untuk menguji keabsahan kerajaan yang tidak patut dibazirkan.

“Konvensyen Parlimen menuntut jika kerajaan kalah dalam rang undang-undang kewangan, kerajaan tidak ada pilihan selain meletak jawatan. Undian belanjawan ialah ibu kepada semua RUU kewangan. Jika perdana menteri kalah undian ini, beliau perlu meletak jawatan dan kerajaannya akan tumbang.

“Oleh itu, kita tidak boleh menyerahkan senjata khas ini kepada perdana menteri secara percuma. Sebaliknya, kita mesti mempertimbang menggunakannya sebagai kelebihan yang sangat penting bagi mendapatkan beberapa pembaharuan sangat diperlukan untuk menyelamatkan demokrasi,” tulisnya di Facebook hari ini.

Katanya, ada banyak masa untuk tuntutan dijadikan pertukaran bagi undian pembangkang dan untuk Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menunaikannya memandangkan undian akhir belanjawan hanya akan berlangsung pada 10 Dis nanti.

Beliau berkata, politik Malaysia selalu mendatangkan kejutan dan Umno masih boleh menarik sokongannya untuk belanjawan, walaupun mereka mengulangi sokongan kepada Muhyiddin.

“Paling atas dalam senarai pembaharuan demokratik saya ialah memberi hak tanpa had kepada pembangkang untuk membentangkan usul undi tidak percaya di Parlimen. Saya yakin Ahli Parlimen Umno yang berfikiran reformasi seperti Tengku Razaleigh Hamzah akan menyokong permintaan tersebut.

“Reformasi ini akan membolehkan Parlimen memeriksa keabsahan perdana menteri dan untuk mencegah kediktatoran.”

Katanya, tuntutan lain yang perlu dibuat pembangkang ialah Kabinet menandatangani perjanjian meluluskan Akta Perkhidmatan Parlimen pada sidang Mac 2021 untuk menjadikan Parlimen bebas daripada eksekutif dari segi kewangan dan pentadbiran.

Sebagai langkah awal untuk menunjukkan keikhlasan kerajaan, saya menggesa Kabinet menyampaikan taklimat penuh belanjawan kepada semua ahli Parlimen pembangkang pada 2 Nov ketika Parlimen bersidang semula.

“Selepas itu, biarkan rundingan ‘undi belanjawan untuk reformasi’ bermula demi kepentingan rakyat, demokrasi dan negara.”

Tiada ulasan: