MALAYSIAKINI
Pergerakan Wanita PKR menggesa ahli parti supaya memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan mengajak orang ramai supaya menolak pengkhianat dan pengkhianatan.
Naib Ketua Wanita PKR Faizah Ariffin berkata, kemelut politik hari ini dilihat semakin ke arah mencari keuntungan kepada parti politik tertentu berbanding mengutamakan keuntungan rakyat.
“Kerajaan hari ini dilihat sebagai hilang punca dan daya untuk memimpin negara dalam mendepani Covid-19 dan pemulihan ekonomi.
"Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin) telah diberi peluang untuk mengetuai kerajaan tetapi gagal.
"Cakap-cakap kerajaan hari ini merupakan sebuah kerajaan prihatin dalam menjaga keselamatan dan kebajikan ketika melawan pandemik covid-19 hanyalah omong kosong sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebagi contoh, Faizah berkata, moratorium tidak lagi dilanjutkan dan dilihat lebih membantu talian hayat bank dan bukannya rakyat.
Kerajaan, katanya semakin gagal mengawal penularan wabak Covid-19 yang kian mencecah empat angka jumlah jangkitan harian. Semalam, kes jangkitan harian mencatatkan jumlah tertinggi dengan sebanyak 1,240 kes baru
“Antara punca gelombang baru penularan wabak Covid-19 adalah dari kerana ketidaktetapan keperluan kuarantin pada prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh kerajaan kepada mereka yang baru pulang dari Sabah,” katanya.
Justeru, menurutnya, kerajaan PH wajar diberi peluang dan ruang untuk memimpin kerajaan bagi memulihkan ekonomi rakyat dan negara.
"Ketika Pakatan Harapan memerintah, kita berjaya mencatat angka 0 bagi jumlah jangkitan harian selama beberapa hari.
"Presiden PKR Anwar Ibrahim amat relevan untuk diberi peluang dan ruang untuk memimpin kerajaan bagi memulihkan ekonomi rakyat dan negara kerana beliau merupakan tokoh pejuang kemiskinan sejak dari tahun 1974 dan pernah dinobatkan sebagai menteri kewangan terbaik Asia.
"Dalam pembentukan kerajaan yang benar-benar dapat menjulang martabat rakyat, kita perlu tumpukan jalan kemenangan PRU-15 nanti. Kita perlu pastikan rakyat menolak pengkhianat dan pengkhianatan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan