HALAMAN SANTAI

Ahad, 15 November 2020

Belanjawan 2021: Anwar dakwa Zafrul cuba ketepi suara majoriti MP

Shawaliah Hadir
MGF16102020_ANWAR-SIDANG-MEDIA-_-7
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang menyifatkan kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berbaur ugutan apabila berkata bayaran gaji dan segala komitmen kepada penjawat awam akan terjejas sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan.

Malah Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap ia merupakan cara untuk mengenepikan suara Ahli Parlimen.

Sebaliknya, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson yakin belanjawan yang dibentangkan pada 6 November lalu boleh ditambahbaik berasaskan kepentingan rakyat.

“Menteri Kewangan membayangkan sekiranya Belanjawan 2021 yang dibentang kerajaan Perikatan Nasional tidak diluluskan, maka ia tidak akan dapat membayar segala komitmen termasuk pembayaran gaji penjawat awam dan akan mengesankan para petugas barisan hadapan yang berjuang memerangi Covid-19.

“Saya fikir ini satu kenyataan yang bersifat hambar dan berbaur ugutan serta sebahagian dari rencana untuk mengenepikan suara majoriti Ahli Parlimen.

“Saya yakin bahawa kita mampu mengemukakan belanjawan atau pindaan yang lebih baik untuk kepentingan rakyat,” katanya menerusi kenyataan.

Justeru beliau menggesa kerajaan untuk meneliti semula Belanjawan 2021.

“Seperti mana yang saya tegaskan tatkala membahaskan belanjawan di Parlimen, soal emolumen penjawat awam, perbelanjaan mengurus dan utamanya perbelanjaan untuk barisan hadapan serta kelengkapan perubatan dan kesihatan tetap dipertahankan.

“Saya ulangi gesaan untuk kerajaan teliti semula Belanjawan 2021. Pembangkang hanya mendukung sekiranya ia benar-benar belanjawan untuk memerangi Covid-19,” katanya.

Terdahulu Tengku Zafrul optimis Belanjawan 2021 akan diluluskan kerana ia dirangka agar dapat menolong rakyat dan negara termasuk petugas barisan hadapan yang memerangi Covid-19. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: