Minggu ini dua kali Majlis Tertinggi Umno mengadakan mesyuarat ketika suasana politik negara masih mengalami suasana tidak menentu.

Selepas mesyuarat kali kedua - pada 29 Nov lalu - Umno mengeluarkan kenyataan media yang berisi penegasan beberapa perkara yang dilihat mempunyai maksud tersirat.
 
Ketika semua anggota MT menutup mulut mengenai perbincangan dalaman mereka, tidak banyak yang dicerap oleh orang ramai kecuali pengulangan komitmen Umno kepada kerajaan Perikatan Nasional.

Namun rupa-rupanya ada cerita dalaman yang mendorong Umno mengadakan pertemuan berkenaan secara tergempar.

Menurut sumber hubungan kerjasama Umno - Bersatu memang masih rumit apabila Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyatakan rasa tidak puas hati berhubung sikap yang diterimanya apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah menolak cadangan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat.

Sumber yang dekat dengan pucuk pimpinan Umno mendakwa, kenyataan media selepas mesyuarat MT parti itu pada Khamis yang lalu merupakan amaran parti berkenaan kepada Muhyiddin serta beberapa pemimpin Bersatu.
 
"Kalau kita lihat kenyataan media pada Khamis lalu, ia jelas mempunyai beberapa maksud tersirat. Khususnya para keempat dan kelima.

"Ini kerana Umno tidak puas hati dengan tindakan Muhyiddin menyerang menteri-menteri Umno dalam mesyuarat kabinet melalui aplikasi Zoom baru-baru ini," katanya kepada Malaysiakini.

Amaran jelas pada Muhyiddin

Kata sumber itu lagi, dalam mesyuarat tersebut Muhyiddin menegur menteri-menteri Umno kerana pendirian parti itu menyokong keputusan Agong.

"Muhyiddin mempersoal pendirian Umno kerana sebelum itu sebulat suara menyokong cadangan kerajaan PN mahukan darurat tetapi selepas Agong menolaknya, mereka menyatakan sokongan kepada Agong pula," katanya.

Keadaan itu, dakwa sumber terbabit, memang tidak menyenangkan Umno dan sekurang-kurangnya enam menteri menyatakan bantahan dengan memberitahu Muhyiddin, dia tidak boleh terus memperkecilkan parti mereka.

"Itulah sebabnya Umno mengadakan mesyuarat MT Umno dua kali alam masa seminggu," katanya.

Tambahnya, dalam kenyataan media itu, Umno menyatakan sikap mereka untuk tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas demi menjaga kedaulatan raja-raja Melayu dan kepentingan rakyat.

Misalnya para keempat, katanya, yang berbunyi: "Sebarang tindakan mana-mana pihak yang mempersoalkan keputusan Umno mendukung titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu adalah tidak bertanggungjawab dan amat dikesali. Sekiranya pendirian Umno dalam perkara ini masih dipersoalkan, Umno tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas demi untuk menjaga kedaulatan Raja-raja dan kepentingan rakyat".
 
"Itu adalah amaran jelas kepada Muhyiddin dan Bersatu," katanya.

MT minta kekal dalam kabinet 

Sementara itu, ahli MT Umno Mohd Puad Zarkashi hari ini mengesahkan bahawa menteri-menteri Umno "dibelasah" dalam mesyuarat kabinet pada Rabu lalu.

Dalam satu kenyataan, Mohd Puad berkata Umno menjadi sasaran kerana menteri Umno menyokong keputusan raja-raja Melayu menolak darurat.

Dia juga meminta Muhyiddin tidak perlu berdolak dalik.

"Jika tidak dilayan, politiking berterusan. Kerajaan 113 terus tidak stabil. Rakyat menjadi mangsa. Puncanya, tiada kejujuran politik," kata Mohd Puad.

Dalam pada itu, sumber berkenaan berkata salah seorang menteri yang menghadiri mesyuarat MT Umno memberitahu mereka sedia meletak jawatan jika Bersatu terus memperkecilkan Umno.

"Ketika mesyuarat, menteri itu diminta memberi penjelasan mengenai insiden di kabinet.

"Selepas menjelaskan bahawa Muhyiddin menyerang menteri-menteri Umno, menteri terbabit memberitahu dia dan lima menteri lain sedia letak jawatan.

"Namun, MT Umno meminta mereka untuk kekal dalam kabinet sehingga penularan wabak Covid-19 reda.

"Ini yang tertera dalam para kelima yang berbunyi: Umno adalah sebuah parti yang dasar-dasarnya sentiasa memberikan keutamaan kepada agenda rakyat. Maka, semua anggota Kabinet yang mewakili Umno terus kekal dalam Kerajaan dan beriltizam untuk terus menjaga kebajikan rakyat dan mempertahankan maruah parti," katanya.
 
Namun, sumber itu tidak mendedahkan nama enam menteri tersebut.

"Tidak. Tidak wajar kita mendedahkan nama mereka. Tapi yang pasti bukan Hishamuddin Hussein," katanya. – Mkini