HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 November 2020

Tidak perlu restu saya kalau mahu jadi Perdana Menteri - Tun Mahathir

Firdaus Azil
Tidak perlu restu saya kalau mahu jadi Perdana Menteri - Tun Mahathir
Pemilihan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-lapan membuktikan 
ia adalah di luar kawalan beliau, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menafikan seseorang ahli politik itu memerlukan restu beliau untuk menerajui pentadbiran kerajaan di negara ini.
 
Dalam program Eksklusif Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad yang disiarkan pada Rabu malam, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, pemilihan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan membuktikan ia adalah di luar kawalan beliau, seperti yang didakwa sesetengah pihak.
 
Ujarnya lagi, sokongan beliau terhadap seseorang individu itu tidak membawa makna sekiranya rakyat sendiri tidak bersetuju dan menolak Kerajaan.
 
“(Dakwaan itu) tak benar. Perdana Menteri (Muhyiddin) sekarang ini bukan pilihan saya. Banyak orang nak jadi Perdana Menteri. Banyak orang minat nak jadi Perdana Menteri. Tetapi mereka tak dapat jadi.
 
“Kalau pun saya sokong mereka yang tak layak, tak akan jadi Perdana Menteri juga,” katanya secara ringkas.
 
Dr Mahathir mencipta sejarah apabila berjaya menerajui Pakatan Harapan untuk menumbangkan pemerintahan Barisan Nasional selama 22 tahun pada Pilihan Raya Umum 2018, dan seterusnya diangkat menjadi Perdana Menteri ketujuh.
 
Bagaimanapun krisis politik pada Februari tahun ini menyebabkan beliau meletak jawatan selepas 22 bulan memimpin Kerajaan Pakatan Harapan, dan diganti dengan Muhyiddin, yang kemudiannya menggelarkan Kerajaan Persekutuan sekarang sebagai Kerajaan Perikatan Nasional.
 
Dr Mahathir juga merupakan Perdana Menteri dari Barisan Nasional yang paling lama, iaitu selama 22 tahun (1981 - 2003), sebelum meletak jawatan atas alasan, ingin memberi laluan kepada generasi pemimpin seterusnya.
 
Bagaimanapun, beliau telah melontarkan kritikan secara terbuka kepada penggantinya iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi (2003 - 2009) dan Perdana Menteri seterusnya iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak (2009 - 2018).

Tiada ulasan: